Anda di sini!
Utama > Politik > Hisham Janji Takkan Lawan Zahid

Hisham Janji Takkan Lawan Zahid

HARI kedua Perhimpunan Agung UMNO 2017 menyaksikan perwakilan bersetuju sebulat suara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Mungkinkah nada positif terhadap cadangan yang dikemukakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam wawancara bersama media dua minggu lalu itu, petanda semangat membara UMNO dalam bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14?

S: Mengapa perlu dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan?

J: Itu pendirian yang saya buat dulu lagi. Itu pendirian peribadi saya tetapi yang akan menentukan apa dia pendirian parti ini adalah perwakilan. Secara peribadi saya dah terangkan, kita nak pastikan (dengan cadangan itu) disahkan di peringkat tertinggi yang mana tiada mana-mana pihak boleh cuba melaga-lagakan kita. (Dengan keputusan ini) jelas tidak mungkin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding melawan Datuk Seri Najib Razak dan saya melawan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid. Itu pandangan peribadi saya. Tetapi hari ini saya lega, kerana apa yang saya harapkan itu dapat diterjemahkan oleh suara perwakilan kita iaitu badan tertinggi pada Perhimpunan Agung UMNO ini. Saya rasa penting untuk merapatkan barisan kita. Kita tidak mahu mana-mana pihak cuba melagakan pemimpin tertinggi parti dan kalau kita menjawab mereka ini, dia akan putar (isu ini). Tindakan kita sebagai persiapan awal menghadapi mereka (golongan yang putar fakta).

S: Dengan keputusan terbaru perwakilan ini, akan adakah persaingan sengit akan berlaku di peringkat pemilihan Naib Presiden?

J: Persaingan ini tidak kira di peringkat mana, kita bertanding dalam konteks kekeluargaan dan saya sendiri sudah pernah melaluinya. Itu demokrasi dan akan berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, Alhamdulillah, dalam kita berdepan pilihan raya, kita tidak mahu dibelenggu dengan pertimbangan dan perkiraan jawatan dalam parti. Saya akan mempertahankan jawatan, itu pasti dan tidak boleh elak kerana orang di bawah mahukan saya (bertanding). Ada dua lagi jawatan Naib Presiden untuk dipertandingkan. Sekarang ini orang dok ulang ulang cakap saya Naib Presiden tunggal. Memang berat kerana kita bertiga buat kerja untuk lima orang sekarang. Dulu ada lima pemimpin kita, dua dah keluar parti. Jadi yang dua orang lagilah yang melaksanakan kerja. Sebab itu, saya percaya ada kesedaran di peringkat perwakilan dan ini disambut baik. Usul ini datang dari akar umbi, bukan saya dan bila Pemuda bawa usul itu, ia dapat sokongan padu. Saya lega.

S: Usul diterima tetapi tidak dibahaskan?

J: Usul itu dibahaskan. Semua jurucakap sudah bahaskan. Setiap jurucakap yang mewakili setiap negeri di peluang membahaskan.

Setiap negeri diberi ruang untuk membahaskannya. Jadi, semua membahaskannya dan menyatakan sokongan dua jawatan ini tidak dipertandingkan. Alhamdulillah.

BH ONLINE

Leave a Reply

Top