IPOH, Pergerakan Pemuda Umno Negeri dan 12 badan bukan kerajaan (NGO) di Perak membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V serta agama Islam.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Senam, di sini, pada kira-kira pukul 10 pagi Selasa.

Antara NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Gerakan Belia 4B Perak, Gerakan Belia 4B Ipoh Barat dan Suara Anak Muda Perak.

Pengguna Facebook tersebut menggunakan nama Catt Ginger yang bertindak kurang ajar dengan memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang telah disunting dengan gambar kurang sopan berserta ucapan Selamat Hari Raya pada 25 Jun lepas, yang merupakan hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, individu berkenaan difahamkan telah memuat naik kenyataan di laman Facebooknya pada 1 Julai lepas menafikan bahawa dia telah menghina Sultan Muhammad V selain telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata laporan polis itu dibuat kerana ia dipercayai dengan niat melakukan provokasi agama dan ia telah menimbulkan ketegangan dan keresahan di kalangan umat Islam.

“Perkara ini dilihat sangat kurang ajar kerana tindakan memperolok Yang di-Pertuan Agong bukanlah perkara yang boleh dilakukan sesuka hati tanpa menerima balasan sewajarnya.

“Malahan provokasi melampau ini bukan sahaja menimbulkan keresahan tetapi membangkitkan kemarahan di kalangan umat Islam negara ini. Provokasi seperti ini jika tidak dibendung dikhuatiri akan menyebabkan ketegangan kaum yang akhirnya akan memudaratkan keharmonian negara kita,” katanya.

Beliau menggesa pihak Polis Diraja Malaysia menyiasat dan bekerjasama dengan pihak SKMM terhadap perkara ini.

“Selama ini kita hanya menjatuhkan hukuman ringan, itu tidak memberi satu contoh pengajaran kepada rakyat. Saya harap individu yang terlibat dapat dipenjarakan selain didenda dan bukan hanya membuat kenyataan memohon maaf sahaja.

“Kami berharap pihak polis dapat menyiasat dan memberi maklumat secukupnya agar pendakwaan dapat dijalankan oleh pihak pendakwa dan wajar menjadi iktibar kepada pengguna media sosial yang lain agar perkara seumpama ini tidak berulang dan kedaulatan Raja-raja Melayu dan agama Islam tidak lagi sewenang-wenangnya diperolok,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *