Share on Facebook

KUALA LUMPUR, UMNO akan menganjurkan perhimpunan solidariti bagi membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO akan berunding dengan rakan komponen Barisan Nasional (BN), parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi merealisasikan perhimpunan itu.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sudah bertemu dengan kepimpinan Fatah manakala saya dan Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bertemu dengan kepimpinan Hamas dan kedua-dua pihak bersatu hati mengenai isu ini.

“Melalui UMNO pula, kita akan berunding dengan rakan komponen, parti-parti lain di luar BN untuk bersama NGO bagi kita mengadakan perhimpunan solidariti untuk bersama menyokong keprihatinan rakyat Palestin dalam mereka berdepan cabaran yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas ucapan dasar Presiden UMNO di sini, hari ini. Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan AS itu dikhuatiri akan menyebabkan pergolakan yang lebih teruk di Asia Barat.

“Ini bukan soal Islam sahaja, ini ada adalah soal kesejagatan. Apabila sebuah negara besar menjadi dalang kepada soal sebuah negara (Palestin) yang selama ini dinafikan campur tangannya dan apa yang diputuskan oleh Presiden sebuah negara besar (AS), saya khuatir akan berlaku semula pergolakan politik di Asia Barat dan negara Islam berasa sensitif dengan isu ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan PAS untuk menganjurkan perhimpunan sama di luar Kedutaan AS di Malaysia esok, Ahmad Zahid berkata UMNO memberi sokongan penuh dan akan mengarahkan ahli parti yang tidak terbabit secara langsung dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, Hishamuddin berkata keprihatinan Presiden UMNO menyentuh soal Palestin dalam ucapan dasarnya menunjukkan kenyataan Presiden AS itu tidak dipersetujui dan ditentang.

“Kenyataan Presiden itu jelas dan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada perwakilan. Ucapan dasar Presiden memberi kita kesempatan untuk menyuarakan pendirian sejelas-jelasnya,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel selain memindahkan kedutaan besar negara itu ke kota berkenaan dari Tel Aviv.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *