Anda di sini!
Utama > Terkini > HARUN SALIM BACHIK DIBERI PENGHORMATAN

HARUN SALIM BACHIK DIBERI PENGHORMATAN

mh online

Pelakon komedi, Allahyarham Harun Salim Bachik yang meninggal dunia Mac lepas dikurniakan ‘Anugerah Pohon Beringin’ bagi menghargai khidmat bakti beliau dalam bidang seni.

Anugerah tersebut yang merupakan anugerah utama Gegar Anak Seni (Gasseni) disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada balu Allahyarham, Surianti Mohd Nor pada jamuan Gasseni di sini, malam Selasa.

Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim, 55, rebah secara tiba-tiba di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah, Perak selepas menghadiri majlis kenduri di Pulau Pinang pada 8 Mac lepas.

Pada majlis malam ini, Gasseni turut menyampaikan enam anugerah kepada anak seni yang banyak berjasa dalam pembinaan budaya bangsa melalui bidang filem, televisyen, nyanyian, teater, tarian dan muzik.

Mereka ialah pelakon, Allahyarham Ibrahim Pendek bagi kategori Ikon Filem tempatan, Tokoh Penyiar 1994, Tan Sri Ahmad Merican (Ikon Televisyen) dan kumpulan Alleycats (Ikon Nyanyian).

Turut menerima anugerah, Pengarah Khalid Salleh (Ikon Teater), Datin Azanin Ezane Ahmad (Ikon Tarian) dan bekas Pengarah Muzik TV3, Datuk Ooi Eow Jin (Ikon Muzik).

Malam Gasseni yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).

Ia dihadiri lebih 1,000 karyawan tempatan dari pelbagai latar berlakang seni termasuk pengarah, Datuk Yusof Haslam dan penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim.

Pada majlis itu, sekumpulan anak seni turut membaca ikrar dalam menyatakan sokongan dan tekad mereka untuk mempertahankan tanah air.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top