Pelawak Harith Iskander mungkin ‘tidak cukup nafas’ buat masa ini, kerana sedang menunggu keputusan undian dalam talian selepas selesai beraksi di peringkat akhir pertandingan Funniest Person In The World (TFPW) di Levi, Finland.

Aksi Harith itu kini dimainkan di LaughFactory.com dan sedia untuk diundi dalam tempoh 24 jam.

Dalam persembahan akhir tersebut, Harith bersaing dengan empat pelawak dunia lain seperti Alex Calleja daripada Filipina, Mino Van Nassau (India), David Kilimnick (Israel) dan Katerina Vrana (Greece).

Penonton di Malaysia telah mengikuti aksi lawak mereka secara penstriman langsung sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.

Mendapat giliran pertama untuk membuat persembahan, Harith melawak selama lebih kurang 15 minit, bermula dengan kisah kedatangannya ke Finland.

Bermula dengan memperkenalkan Malaysia dan cuaca, Harith berkongsi pula tentang keseronokannya duduk di kelas bisnes pesawat Singapore Airlines, termasuk soal keadaan dalam pesawat dan layanan pramugari.

Beliau seterusnya melawak tentang hubungan antara suami isteri serta segala perkara lucu yang berkaitan hidup lelaki dan wanita.

Semua penceritaan humor itu telah Harith sampaikan dalam gaya tersendirinya iaitu cara bercakap pantas, usikan nakal, dan meletakkan diri dalam watak-watak berbeza.

Pertandingan yang bermula sejak Ogos lalu itu menerima sambutan menggalakkan dari seluruh dunia, dengan setiap negara menghantar bakat komedi terbaik masing-masing seterusnya ditampilkan dalam saluran video LaughFactory.com.

Pada pusingan pertama, 20 peserta dengan undian dalam talian terbanyak layak masuk ke pusingan kedua.

Pada pusingan kedua, 20 peserta separuh akhir (dengan maksimum 1 pelawak dari setiap negara) menerima jemputan dan AS$1,000 sebagai perbelanjaan untuk membuat persembahan di Helsinki, Finland di hadapan panel pakar dan selebriti pada 5 Disember.

Sebelum itu, rakaman video yang diluluskan peserta dimuat naik ke laman web Indi pada 17 Oktober, dan proses undian sedunia berlangsung sehingga 5 Disember. Pada 6 Disember, lima peserta akhir diumumkan.
Juara TFPW akan menerima hadiah utama sebanyak AS$100,000 (RM444,845), manakala mereka yang berada di tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima AS$10,000 (RM44,484) dan AS$ 5,000 (RM22, 242).

TFPW dianjurkan antara lain untuk meraikan kepelbagaian budaya di seluruh dunia selain menyatukan manusia dan mempromosi keamanan melalui acara hiburan gelak ketawa.

Segala maklumat mengenai pertandingan itu akan dikemaskini oleh Harith di semua medium sosial miliknya iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *