Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Harga Petrol Di Saudi Meningkat 126%

Harga Petrol Di Saudi Meningkat 126%

Arab Saudi yang juga antara negara pengeksport petroleum terbesar dunia hari ini, mengumumkan kenaikan harga petrol tempatan di antara 45 hingga 126 peratus.

Agensi berita kerajaan, SPA, melaporkan langkah itu bertujuan menjadikan penggunaan tenaga lebih efisyen, sejajar pelan reformasi untuk merangsang sumber pendapatan negara itu daripada hanya bergantung kepada minyak.

Susulan pengumuman itu, minyak Ron 91 kini dijual pada harga 1.37 riyal (RM1.48) seliter, berbanding 0.75 riyal (RM0.81) sebelum ini sementara Ron 95 pada harga 2.04 riyal (RM2.21) seliter, berbanding 0.90 riyal (RM0.98) sebelum ini.

Kerajaan negara itu juga akan memperlahankan rancangan menghapuskan subsidi terhadap pelbagai produk tenaga lain berdasarkan pelan fiskal jangka panjang baharu dalam bajet negara 2018.

Pada 20 Disember lalu, Raja Salman secara rasminya, mengumumkan tarikh sasaran menghapuskan defisit bajet kerajaan dilanjutkan kembali sehingga 2023, berbanding sasaran terdahulu pada 2020, bagi mengurang tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi.

Negara itu mengumumkan inisiatif reformasi meluas pada 2016, yang bertujuan meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan yang disediakan kerajaan dan mencapai masa depan lebih kaya dengan pembangunan berdaya tahan. – Reuters

Leave a Reply

Top