Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Harga Ikan Dijangka Lebih Murah Selepas Siap ECRL

Harga Ikan Dijangka Lebih Murah Selepas Siap ECRL

KEMAMAN, Harga ikan di negara ini dijangka akan lebih murah selepas siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ekoran kos pengangkutan yang dapat dijimatkan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jajaran ECRL yang menghubungkan negeri Pantai Timur ke Lembah Klang akan menjadi pemangkin ekonomi dan turut mempengaruhi penurunan kos pengangkutan penghantaran ikan segar.

Kata beliau, jajaran kereta api laju itu yang turut merentasi Tok Bali, Kelantan yang merupakan tempat pendaratan ikan laut dalam terbesar di negara ini akan memudahkan dan menjimatkan kos penghantaran ikan yang baharu didaratkan.

“Dengan adanya rangkaian kereta api ini ia menjadikan Tok Bali dapat menjalankan fungsinya lebih berkesan lagi. Penghantaran bekalan ikan ke seluruh negara akan dapat dibuat dengan cepat.

“Ia akan menjadikan harga ikan di pasaran lebih murah kerana kos pengangkutan itu dapat dijimatkan,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Taklimat ECRL Kepada Pemimpin Komuniti Tempatan Parlimen Kemaman yang diadakan di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini, pada khamis.

Ahmad Shabery berkata, jika penghantaran tidak dilakukan dengan cepat, sebahagian ikan segar yang didaratkan di kawasan itu lebih cenderung dibeli oleh negeri-negeri kawasan utara negara termasuk yang di luar sempadan negara.

Kata Ahli Parlimen Kemaman itu, secara keseluruhannya memberi satu rangsangan kepada penduduk-penduduk di Pantai Timur kerana ia merupakan satu titik perubahan dari segi perhubungan, memudahkan pengurusan perniagaan dan sebagainya.

“Tapi yang lebih penting lagi ia disertai dengan peluang-peluang baharu dari segi peluang pekerjaan, kontrak (projek) dan pembangunan modal insan bagaimana kita dapat merekrut anak-anak muda sama ada yang telah terlatih atau belum terlatih.

“Peluang-peluang ini dapat dinikmati bukan sahaja semasa projek ini berjalan selama enam tahun tapi juga selepas siap projek ini, rakyat akan terlibat dalam pengurusan ECRL ini di masa akan datang,” katanya.

Susulan itu, beliau turut memuji program ‘engagement’ (pertemuan) yang dilakukan pengendali projek ECRL itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan pihak rakyat kerana ia memberi gambaran sebenar mengenai keseluruhan projek itu kepada rakyat.

“Oleh itu kita alu-alukan taklimat sebegini turut dijalankan di semua daerah bukan sahaja di Terengganu, tetapi juga di Kelantan dan Pahang,” katanya.

Pada program itu, taklimat disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Projek ECRL yang bernilai RM55 bilion danĀ  melibatkan jajaran sejauh 688 kilometer dari Pengkalan Kubur, Kelantan ke Pelabuhan Klang mula dibangunkan pada November lepas dan dijangka siap pada Julai 2024.

3 thoughts on “Harga Ikan Dijangka Lebih Murah Selepas Siap ECRL

  1. Salah satu contoh kos pra-matang oleh menteri. Tanpa membuat kiraan kos per kilometer ECRL, bagaimana beliau dpt membuat kesimpulan bahawa harga ikan dijimatkan apb diangkut menggunakan ECRL yg pembinaan belum pun dimulakan lagi?

  2. sedia maklum tahu dohkan..rail keretapi hok akut kargo petronas pun org curi besi rail tu..sapa ke hari ni,khidmat keretapi box kargo gebeng kertih dok jalan2..saya cuma bg pendapat je..pk laa guane2..patut ke dok..salam

Leave a Reply

Top