Shahir Zawawi memaklumkan bakal menyunting aktres, Erra Fazira, sebagai isteri selewat-lewatnya awal tahun depan.

Penyanyi yang juga bekas juara program Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu juga menegaskan, hanya Erra yang kini bertakhta di hatinya.

Shahir yang kini giat melakukan persediaan menghadapi peringkat akhir program AF Megastar itu berkata demikian ketika dirinya kini terpalit kontroversi kononnya mempunyai hubungan dengan pramugari bernama Mona Syamimi, yang mula diperkatakan semalam.

“Selama lebih tiga tahun menjalinkan hubungan istimewa dengan Erra, saya berani katakan, hanya dia yang bertakhta di hati. Tiada wanita lain selain dirinya.

“Saya juga berhasrat ingin memperisterikannya, awal tahun depan. Kenyataan ini juga dikeluarkan bukan bermaksud saya cuba mengalih kontroversi yang melanda sekarang.

“Saya perlu memberikan justifikasi kepada perhubungan kami. Harapan saya, tiada orang lain yang akan mengganggu-gugat hubungan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Shahir juga menunggu kenyataan daripada Mona bagi membersihkan namanya kerana menggambarkan dirinya cuba berlaku curang dan mempermainkan perasaan Erra.

“Nampak ada percanggahan kenyataan antara saya dengan Mona. Saya diberitahu, wujud salah faham terhadap kenyataan yang diberikannya.

“Mona berjanji akan memberikan kenyataan baharu, sekali gus membersihkan nama saya. Saya kini hanya menunggu dan lihat,” katanya.

Semalam, dunia hiburan dikejutkan dengan cerita Shahir, yang diketahui ramai menjalinkan hubungan bersama Erra, 43, tiba-tiba dikaitkan dengan wanita dikenali sebagai Mona Syamimi Mohd Samsudin.

Ia bermula apabila foto Shahir, 29, bersama wanita itu tersebar di laman sosial. Tambah hangat, keterangan gambar yang dilampirkan bersama foto seolah-olah menunjukkan mereka pasangan kekasih.

Shahir bagaimanapun menjelaskan, hubungan mereka tidak lebih daripada peminat dan artis. Namun, menerusi sebuah portal, Mona mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan pengakuan penyanyi lelaki berkenaan.

BH Online

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *