Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Hamidah Lapor SPRM Tuduhan Syed Saddiq

Hamidah Lapor SPRM Tuduhan Syed Saddiq

Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa menuduhnya sebagai ejen UMNO.

Hamidah berkata walaupun tidak dinyatakan secara jelas, namun beliau percaya tuduhan itu dilemparkan terhadapnya terutama membabitkan habuan bernilai RM5 juta yang didakwa kononnya cuba disogokkan kepada Syed Saddiq.

Katanya tuduhan yang dibuat Syed Saddiq itu nyata tidak berasas dan sengaja dilakukan bagi meraih kepentingan politik.

“Walaupun saya tak boleh jelaskan secara lanjut sepertimana dinasihatkan SPRM, namun saya berharap siasatan secepat mungkin dapat dibuat.

“Saya juga tidak pernah tahu mengenai wang RM5 juta itu tapi dalam kenyataan Syed Saddiq ia semacam ditujukan pada saya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Perak di sini.

Semalam, Syed Saddiq menjelaskan ada cubaan daripada seseorang di luar Pakatan Harapan cuba menyogoknya dengan wang bernilai RM5 juta sekiranya meninggalkan PPBM selain mendakwa dijanjikan dengan peruntukan untuk membuka sekolah debat di seluruh negara.

Menjelas lanjut, Hamidah berkata laporan kepada SPRM dibuat bagi membolehkan satu siasatan secara telus dijalankan agar dapat membongkar perkara sebenar.

“Saya mahu membersihkan nama saya dan pada masa yang sama mahu perkara benar serta adil ditegakkan pihak SPRM,” katanya.

Leave a Reply

Top