Langkah dalam kerjaya Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, bermula sekitar 1995, menerusi album Dag Dig Dug…Mana Tahan.

Tidak dinafikan, era tersebut merupakan fasa kemasyhuran muzik dangdut di Malaysia, dan Haiza menjadi antara penggerak alaf baharu kepada genre muzik tersebut ketika itu bersama teman seangkatan seperti Amelina, Mas Idayu dan Sheeda.

Tahun demi tahun berlalu dan penyanyi yang berasal dari Johor ini, terus gigih memperjuangkan muziknya dalam dunia seni tempatan sehingga kini.

Untuk rekod, Haiza sudah pun mempunyai barisan lebih tujuh buah album, termasuk album kompilasi.

Enggan disisihkan daripada jenama sebagai seorang penyanyi dangdut, penyampai radio kepada stesen KoolFM ini, mengakui kecintaannya terhadap dangdut kekal menebal, mengenangkan dia sendiri bermula sebagai penyanyi irama berkenan.

“Kita tidak boleh lupa diri. Kalau ada yang kata jangan ingat kenangan lama dan terus maju ke depan, ia berbeza bagi saya. Mengapa perlu untuk melupakan momen manis saat kita mula-mula berkecimpung dalam dunia seni dulu?

“Saya bermula sebagai penyanyi dangdut dan pastinya, perlu kembali kepada ‘akar’ saya semula. Walau saya ada mengeluarkan lagu balada Tentang Cinta usai keluar dari Gegar Vaganza musim kedua (GV2) lalu, tapi cinta dan minat itu kuat pada dangdut,” katanya.

Selain bercerita mengenai kerjaya muziknya, Haiza yang juga salah seorang peserta Duo Star bergandingan bersama Aepul (vokalis Drama Band) menambah, dia tidak punya perancangan khusus dalam mengatur perjalanan seninya untuk tahun hadapan.

Katanya lagi, dia tidak berapa gemar untuk merancang kerana kemudian nanti pasti ada perubahan pada saat-saat akhir.

“Percaya tak, saya bukanlah jenis yang gemar membuat perancangan dengan terlalu detail dan teliti. Hala tuju tu adalah, cumanya untuk rancang satu persatu, saya bukan begitu.

“Saya mudah. Kalau ada lagu baru yang bangus untuk saya rakam, saya akan terus rakam. Tak mahu ambil masa lama. Selepas itu, tengok sama ada ia boleh memikat hati pendengar atau sebaliknya.

“Misalnya, ada pelawaan beberapa penyanyi yang mahu featuring bersama saya dalam lagu mereka seperti Altimet.

“Namun saya masih belum buat keputusan untuk terima atau tidak kerana ia masih dalam peringkat perbincangan,” ujar Haiza yang sejujurnya tidak meletakkan harapan besar apabila single terbarunya, Tentang Cinta yang kurang mendapat sambutan.

“Saya rakam lagu tersebut (Tentang Cinta) kerana ada peminat mahu dengar nyanyian balada cara saya. Jadi saya keluarkan modal dan rakam lagu tersebut.

“Ya, saya akui ia kurang mendapat sambutan. Namun saya gembira kerana setidak-tidaknya, saya sudah tunaikan impian peminat. Tapi selepas ini saya memang mahu kembali rakam lagu dangdut. Cuma ia perlu diubah suai mengikut cita rasa semasa,” katanya lagi.

Melihat kepada kerjayanya yang turun naik sebelum ini, Haiza yang sudah pun berkecimpung dalam dunia seni lebih dua dekad turut memberitahu, dia tidak pernah ada rasa putus asa dalam diri.

“Dalam apa sahaja kerja, jangan pernah ada sikap putus asa. Saya sendiri ada masa naik dan turun. Itu lumrah dan sebagai manusia, kita kena terus berdoa dan berusaha.

“Alhamdulillah di dalam usia sekarang, saya sudah pun mempunyai pencapaian yang boleh saya banggakan secara peribadi. Kejayaan di dalam kerjaya seni dan keluarga tentunya.

“Syukur bila ada yang cakap bila saya makin matang dalam seni ni, saya makin laku. Ada sahaja tawaran menyanyi, berlakon dan pengacaraan. Itu namanya rezeki dan kalau saya putus asa sejak dulu, pasti tuah tak ini menyebelahi,” terang ibu Nur Iman Shafi’e Norhanapfe, 4.

“Tiada apa rahsia. Cuma apa yang boleh saya cakap, pengurusan masa itu cukup penting. Saya tak suka berjanji sekiranya saya tahu, tidak boleh lunaskan sesuatu yang telah dijanjikan itu.

“Lebih baik untuk tidak terima sebarang tawaran andai tahu, pada saat akhir kita akan susahkan semua orang,” Mengakhiri perbualan haiza sempat merakamkan ucapan terima kasih terhadap suami, Norhanapfe Omar menjadi tulang belakang terhadap kerjayanya selama ini.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *