Anda di sini!
Utama > Sukan > Ronaldo Lebur Rekod Tanpa Kalah Barcelona

Ronaldo Lebur Rekod Tanpa Kalah Barcelona

Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo muncul wira The Los Blancos selepas menjaringkan gol kemenangan 2-1 ketika bertemu Barcelona di Stadium Camp Nou, awal pagi Ahad.

Gol Ronaldo itu sekali gus berjaya menamatkan rekod 39 perlawanan tanpa kalah Barcelona musim ini.

Kemenangan itu lebih bermakna lagi apabila Real yang bertandang di tempat lawan merampas tiga mata penuh meskipun terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain dalam pertembungan dua musuh tradisi ketat itu.

Barcelona terlebih dahulu meraikan gol awal menerusi tandukan Gerard Pique pada minit ke-56 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Namun, Real pantas mendapatkan gol penyamaan menerusi Karim Benzema pada minit ke-62.

Selepas kapten Real, Sergio Ramos dilayang kad merah kali ke-21 dalam kerjaya bola sepaknya pada minit ke-83, Ronaldo bangkit menjaringkan gol kemenangan kira-kira lima minit sebelum permainan tamat.

“Mencatatkan kemenangan di sini satu harga yang amat mahal kepada semua pemain kerana mereka bermain dengan sepenuh keringat,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane.

Malah, perlawanan itu amat bermakna buat Zidane kerana ia kemenangan sulungnya ke atas Barca sejak mengendali Real.

Leave a Reply

Top