Anda di sini!
Utama > Ekonomi > GOASEAN Umum Kerjasama Strategik Dengan Tonton Dan Dimsum

GOASEAN Umum Kerjasama Strategik Dengan Tonton Dan Dimsum

GOASEAN, pengeluar kandungan kreatif untuk mempromosikan sektor pelancongan ASEAN di Asia Tenggara yang pertama di dunia mengumumkan kerjasama baharu bersama tonton – portal dan aplikasi penstriman video nombor 1 di Malaysia, yang dimiliki oleh Media Prima Berhad (Media Prima) dan dimsum – perkhidmatan video-on-demand (VOD) secara langganan terbaru di Malaysia yang dikendalikan oleh SMG Entertainment Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Star Online Sdn Bhd, ahli Kumpulan Media Star).

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada pelan GOASEAN untuk meluaskan capaiannya dalam mempromosikan Asia Tenggara, seiring dengan kempen ASEAN@50 yang meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN.

Pengeluar kandungan yang telah meraih pelbagai anugerah antarabangsa juga menawarkan 60 jam kandungan asal mereka yang mengetengahkan lokasi-lokasi menakjubkan merentasi 10 negara-negara Asia Tenggara. Semua kandungan asal GOASEAN, termasuklah The Eco Traveller yang memenangi anugerah di Amerika Syarikat akan dipaparkan dengan sarikata dalam Bahasa Mandarin di platform dimsum. Kandungan GOASEAN  boleh mula diakses di tonton dan dimsum bermula April 2017.

Menurut Encik Zefny Idris, Naib Presiden Penjenamaan GOASEAN: “Dengan lebih tujuh belas rancangan yang dihasilkan oleh GOASEAN, kami merancang untuk memacu ke peringkat lebih tinggi bagi tahun 2017 – seiring dengan pelan tahun kedua GOASEAN untuk menyertai lebih banyak platform di mana lebih ramai penonton dapat menikmati kandungan yang kami sediakan. Sebagai penerbit dan pembekal kandungan, pihak kami sentiasa peka dengan cara penonton mengakses media dan menawarkan kandungan yang menepati citarasa pengguna. Sejajar dengan objektif GOASEAN untuk menyediakan ruang bagi mempamerkan kepelbagaian budaya, pemandangan dan suara Asia Tenggara, kami berharap untuk mengembangkan capaian penonton melalui rakan kongsi strategik, tonton dan dimsum bagi mempromosikan destinasi pelancongan Asia Tenggara.”

Kerjasama dengan tonton yang terjalin pada 7 Mac 2017 merupakan penanda aras penting bagi GOASEAN  kerana tonton telah mencapai lebih daripada 6.6 juta pengguna, dengan penambahan 18,000 ahli baharu setiap minggu. tonton menawarkan pelbagai kandungan melebihi 26,000 jam termasuk kandungan tempatan dan sindiket, siaran langsung eksklusif serta saluran premium yang boleh diakses pada bila-bila masa di mana sahaja. Oleh itu, penambahan segmen pelancongan berkualiti tinggi yang boleh diakses pada bila-bila masa di mana sahaja bakal mengukuhkan lagi nilai platform tersebut.

Cik Airin Zainul, Pengarah tonton & Perlesenan dan Pembarangan berkata: “Setelah 11 bulan memasuki ruangan OTT sebagai perkhidmatan berdasarkan langganan, kami teruja untuk bekerjasama dengan GOASEAN  bagi meluaskan lagi capaian mereka kepada para penonton melalui rancangan travelog. Kerjasama ini membuktikan bahawa pengguna tonton VIP boleh menonton rancangan terbaik pada bila-bila masa di mana sahaja.”

Tambahan pula, kerjasama bersama dimsum memastikan GOASEAN mencapai tontonan yang lebih luas kepada pengguna yang inginkan kandungan pelancongan yang menarik dan berkualiti tinggi beserta sarikata dalam Bahasa Mandarin. Di samping itu, dimsum bermatlamat untuk menyediakan kandungan terbaik Asia dengan hak siaran serentak dan eksklusif daripada China, Taiwan, Singapura, Thailand dan Jepun. Justeru, kerjasama tersebut bakal memperkayakan lagi penawaran kandungan dan mengukuhkan kelebihan daya saing perkhidmatan OTT baharu tersebut.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan GOASEAN  bagi meneruskan tawaran kandungan kami. Pada masa akan datang, kami percaya kerjasama ini akan meningkatkan lagi segmen pelancongan dan dokumentari dimsum,” kata Cik Lam Swee Kim, Ketua Pegawai Pemasaran dimsum.

Fred Wang, Pengerusi Asia Content Business Summit (ACBS) yang menyaksikan pengumuman kerjasama tersebut berkata, “Saya percaya kerjasama di antara tiga syarikat ini adalah penting dan ianya bakal memacu peluang perniagaan baharu ke dalam pasaran Asia Tenggara dan memperkasakan industri kandungan.”

Leave a Reply

Top