Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > GIATMARA Lahir Lebih 30 Ribu Pakar Motosikal

GIATMARA Lahir Lebih 30 Ribu Pakar Motosikal

GIATMARA Malaysia berjaya melahirkan 30,264 pekerja industri tenaga mahir teknologi motosikal sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamal Nasir Othman, berkata 161 daripada pekerja terbabit tamat Kursus Motosikal Kuasa Tinggi dengan Persijilan Profesional GiatMara dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Katanya, mereka mendapat peluang sedemikian di 49 pusat latihan yang menawarkan Kursus Teknologi Motosikal seluruh negara anjuran GIATMARA.

“Kita juga ada tiga pusat latihan bagi kursus motosikal kuasa besar di GIATMARA Kota Samarahan, Sabah; GIATMARA Pendang, Kedah serta GIATMARA Batu, Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, ramai antara lepasan pelatih GIATMARA bagi kursus berkenaan berjaya menjadi usahawan.

“Ada yang berjaya membuka Syarikat YMC (jual dan baiki motor) berpangkalan di Kangar, Perlis. Pendapatan individu berkenaan mencecah RM15,000 sebulan.

“Seorang pelatih GIATMARA Batu daripada kursus teknologi motosikal, Mohd Farid Badrul Hisham juga kini adalah penunggang pasukan perlumbaan Kawasaki (Kategori 600cc),” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persetujuan (MOA) Kolaborasi Latihan Superbike antara GIATMARA dan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd di sini, semalam.

GIATMARA diwakili Jamal, manakala Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd diwakili Pengerusinya, Ahmad Faez Yahaya.

Yang turut hadir menyaksikan pemeteraian MOA itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sumbangan jentera dan peralatan khas Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd kepada GIATMARA hasil MOA itu secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerja industri tenaga mahir di seluruh negara.

Beliau berkata, ia juga jadi plat-form bagi anak muda terbabit mencapai tahap tenaga kemahiran kompeten berpendapatan tinggi.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang kepada pihak lain untuk memberi pandangan dan cadangan bagi terus memperkasakan industri terbabit selari dengan fokus transformasi GIATMARA 2017 iaitu Pembangunan Modal Insan.

“MARA selaku pihak yang bertanggungjawab ke atas aktiviti GIATMARA pula berperanan melahirkan lebih ramai teknopreneur iaitu konsep teknikal berubah kepada keusahawanan.

“Cabaran dunia sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk mengurus persekitaran lebih proaktif dan kondusif.

“Di sini, MARA perlu berkemampuan melatih, mendidik termasuk menunjukkan hasil kejayaan mereka selari perkembangan masa kini,” katanya.

Ahmad Faez berkata, usaha sama antara GIATMARA dan pihaknya bertujuan meningkatkan kemahiran industri motosikal berkuasa tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, wujudnya plat-form GIATMARA sebagai institusi latihan kemahiran teknikal dan vokasional membolehkan pelatih mendapat kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal.

“Oleh yang demikian, usaha sama bersama Kawasaki Motors yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang motosikal berkuasa tinggi ini dapat melengkapkan dan membantu objektif demikian,” katanya.

Leave a Reply

Top