Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Gerakan Koperasi Manfaat Jaringan Pos Malaysia

Gerakan Koperasi Manfaat Jaringan Pos Malaysia

Pos Malaysia Bhd akan berfungsi sebagai pusat sehenti pendaftaran keahlian koperasi, permohonan pembiayaan koperasi, platform promosi dan pemasaran dan jual beli emas Ar-Rahnu melalui kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa).

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata kerjasama antara kedua-dua pihak akan memberikan peluang kepada gerakan koperasi memanfaatkan jaringan Pos Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama itu diharap memberi ruang baik kepada gerakan koperasi untuk menerokai peluang perniagaan koperasi ke tahap lebih optimum dan menjadikannya lebih berdaya saing pada masa depan.

“Kami yakin kerjasama ini akan memberi manfaat kepada koperasi dan menyasarkan peningkatan 10 peratus transaksi dalam tempoh 24 bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Angkasa dan Pos Malaysia di sini, pada jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kerjasama itu adalah tepat dengan usaha memperkasakan sektor koperasi dan ia akan memberi manfaat kepada Pos Malaysia dan ahli Angkasa.

Menurutnya, kerjasama dengan Angkasa ini diyakini mendapat sambutan berikutan jumlah ahli koperasi yang tinggi dan saiz rangkaian Pos yang luas merangkumi kira-kira 1,000 cawangan termasuk 696 pejabat pos dan 200 pejabat pos mini.

“Kami menawarkan enam jenis perkhidmatan melalui kerjasama ini pada peringkat awal dan jumlah itu akan dipertingkatkan dari masa ke masa di mana kami kini sedang mengenal pasti beberapa lagi perniagaan baru,” katanya.

Leave a Reply

Top