Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Gelandangan Didakwa Rompak Berkumpulan

Gelandangan Didakwa Rompak Berkumpulan

KUALA LUMPUR, Dua gelandangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil sebuah telefon bimbit milik seorang remaja warga Myanmar.

Abd Ghani Awang Abu, 41, yang memakai baju T hijau dan rakannya E.Ananthan, 31, yang memakai baju T hitam dan seluar ketat ‘legging’ serta mengikat rambutnya didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Anuar Sadik Harun Roshid, 15, dengan mengambil telefon bimbit jenis Samsung dan wang tunai RM200.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Public Bank, Jalan Hang Lekiu, Dang Wangi, di sini pada 2 pagi, 9 Feb lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shamsudin Abdullah, tertuduh Abd Ghani berterusan memberitahu dia dan rakannya itu tidak bersalah sehingga polis mahkamah menyuruhnya diam.

“Kami tak buat. Orang lain yang buat tuan hakim, kami kena aniaya tuan hakim,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Leave a Reply

Top