Mulia Group, pemaju Signature Tower Tun Razak Exchange (TRX), menganggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) projek itu lebih RM3.5 bilion dan dijangka siap pada pertengahan 2018.

Ketua Pengarah Eksekutif Datuk WH Lai berkata mercu tanda itu dijangka menjadi bangunan ke-15 tertinggi di dunia setinggi 1,440 kaki (438.9 meter), hampir dengan Menara Berkembar Petronas, yang berukuran 1,483 kaki (452 meter).

Signature Tower dengan 92 tingkat dan enam aras bawah tanah, terletak di kawasan seluas 149,381 kaki persegi (13,878 meter persegi) dan plat lantai 34,000 kaki persegi (3,159 meter persegi).

“Semalam, kami mula menuang konkrit untuk 20,200 meter padu, atau menyamai saiz lapan kolam renang Olimpik.

“Ia akan mengambil masa 48 jam pada hujung minggu ini dan sebaik sahaja ia beku, beratnya kira-kira 50 juta kilogram (kg),” katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai status projek itu di sini hari ini.

Beliau berkata penuangan konkrit itu adalah antara yang terbesar dicatatkan di peringkat global, melibatkan 8.5 juta kg simen, 16 juta kg pasir, 19 juta kg batuan dan kira-kira dua juta kg ais untuk mengatasi kepanasan melampau yang dihasilkan semasa proses tersebut.

Pada Mei tahun lepas, Mulia Group, pemaju hartanah utama Indonesia, memeterai perjanjian dengan TRX untuk membangunkan Signature Tower, dengan urus niaga tanah bernilai RM665 juta.

Terletak di pusat kewangan, ia mempunyai persamaan dan kekuatan dalam seni bina Islam, membolehkannya melengkapi bangunan lain yang menjadi ikon dalam landskap Kuala Lumpur.

“Kami bekerja dengan jadual yang agresif, bangunan itu (menara) perlu dibina dengan cepat, dengan teknologi yang digunakan untuk projek ini untuk mempercepatkan pembangunan.

“Alasannya ialah kami perlu mengejar momentum dan mendapatkan penyewa. Jika kami melanjutkan lagi projek itu, ia akan menyebabkan kos sepanjang tempoh lanjutan itu.

“Kami juga telah menggabungkan dan menyepadukan semua kepakaran kami, kumpulan untuk pengurusan hartanah, pembinaan hingga penyelenggaraan untuk memudahkan keseluruhan proses untuk projek ini,” kata Lai.

Beliau berkata jumlah ruang boleh disewa bersih (NLA) ialah 2.65 juta kaki persegi (246,193 meter persegi).

Lai juga berkata lokasi tersebut berhampiran dengan stesen Mass Rapid Transit (MRT) bawah tanah yang besar, yang boleh mengendalikan kira-kira 25,000 penumpang sejam semasa waktu puncak atau 500,000 penumpang sehari apabila ia beroperasi pada 2017.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *