Anda di sini!
Utama > Terkini > GANI PATAIL DIGANTI ATAS FAKTOR KESIHTAN – NANCY

GANI PATAIL DIGANTI ATAS FAKTOR KESIHTAN – NANCY

mh online

Perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan atas faktor kesihatan kerana beliau terpaksa kerap menjalani rawatan dialisis di hospital, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

“Pada masa keputusan dibuat beliau selalu pergi dialisis. Sekarang ni dia sihat cuma pada masa itu, beliau pergi dialisis,” katanya menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang mencelah semasa beliau menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen selepas itu, Nancy berkata keputusan kerajaan bagi menggantikan Abdul Gani dibuat berlandaskan undang-undang serta tatacara yang betul.

“Semasa keadaan memerlukan kita untuk berunding dengan dia sepanjang masa, dia tidak ada kerana keadaannya. Beliau akan ke hospital tiga kali seminggu,” katanya sambil menambah negara memerlukan seorang Peguam Negara yang mempunyai kesihatan yang baik.

Abdul Gani dilantik sebagai Peguam Negara sejak 2002 dan khidmatnya ditamatkan mulai 27 Julai lepas atas faktor kesihatan.

Beliau digantikan dengan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Terdahulu, ketika sesi penggulungan itu, Nancy berkata tiada sebarang arahan pertukaran dilakukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairi seperti yang dilaporkan.

Katanya pegawai tersebut yang bergred L52 telah ditempatkan secara sementara di Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM sejak 2013 hingga 30 Jun 2015, atas kapasiti Gred 54 jawatan terbuka.

“(Bagaimanapun) Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan permintaan pihak SPRM untuk melanjutkan tempoh beliau di BOK sehingga 30 Jun 2017.

“Ahmad Sazilee juga baru-baru ini telah diberi kelulusan untuk dinaikkan pangkat ke gred hakiki L54 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top