Anda di sini!
Utama > Belia > Gangsterism Di Sekolah Terkawal

Gangsterism Di Sekolah Terkawal

KOTA KINABALU, Kegiatan kumpulan gengster dalam kalangan pelajar di Sabah masih terkawal, namun pemantauan ke atas mereka akan terus dipertingkatkan bagi mengelak perkara tidak diingini.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah SAC Ahmad Fadzillah Mohamed berkata pihaknya telah melantik pegawai perhubungan sekolah dalam kalangan anggota polis bagi memantau semua sekolah di negeri ini.

“Tiada sekolah di Sabah yang kami kategorikan sebagai ‘hotspot’ iaitu sekolah bermasalah dari segi disiplin seperti aktiviti gengster.

“Namun kalau ada sekolah bermasalah, anggota yang bertugas akan berbincang bagi menangani sebarang kes membabitkan pelajar termasuk memberikan khidmat nasihat dan ceramah mengenai pencegahan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata usaha untuk menempatkan pegawai perhubungan sekolah ini merupakan kerjasama polis dengan pihak sekolah untuk mencegah dan membendung jenayah membabitkan pelajar sekolah.

Mengulas mengenai program itu, Ahmad Fadzillah berkata program anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah itu bertujuan untuk menyampaikan nasihat kepada para pelajar agar tidak terlibat dengan salah laku jenayah.

“Kami memilih Sekolah Tinggi Kota Kinabalu untuk melancarkan program ini yang akan diadakan di semua sekolah di negeri ini melalui pegawai perhubungan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Tinggi Kota Kinabalu Lim Lai Hong berkata seramai 2,011 pelajar akan memulakan sesi persekolahan di sekolah berkenaan hari ini.

“Saya berharap program ini akan membantu pihak sekolah dalam usaha pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar dan saya sangat mengalu-alukan kehadiran pegawai perhubungan sekolah untuk memberi khidmat nasihat dan kerjasama memantau segala kegiatan jenayah di sekolah ini,” katanya.

Leave a Reply

Top