Mengingatkan anggota UMNO di semua peringkat agar tidak mudah alpa, Ketua Penerangan parti Tan Sri Annuar Musa mahu mereka melipatgandakan usaha memerangi fitnah, ugutan serta perang saraf yang datang dalam pelbagai bentuk dan jenis saluran media.

Beliau berkata hanya solidariti rakyat dan ketahanan nasional serta pimpinan terkuat lagi stabil mampu menghalang pihak tertentu, yang sentiasa mencari alasan untuk campur tangan termasuk menggunakan parti pembangkang bagi mewujudkan ketidakstabilan dan membawa kepada pertukaran rejim.

Seperti negara Islam lain, Annuar berkata Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi sasaran pihak tertentu terutama agensi-agensi pimpinan/pro Zionis yang cukup berpengaruh di Amerika Syarikat.

“Dengan menjangkakan PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) akan diadakan pada Ogos atau September atau Oktober nanti, mereka khususnya, DoJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat), dengan kolaborasi ‘kayu-kayu’ yang mencari kuasa, melancarkan sekali lagi tindakan ‘preemptive’ mereka ke arah pertukaran rejim dengan satu perancangan halus tapi cukup rapi dan terselaras sekali.

“Mereka tidak perlukan kebenaran, beban bukti dan tidak perlu mengikut kedaulatan undang-undang negara sasar. Ia cukup sekadar aduan, tuduhan, insinuasi dan persepsi dalam mewujudkan ketidakstabilan sesebuah negara,” katanya dalam kenyataan pada selasa.

Annuar berkata UMNO, yang menjadi tunjang parti pemerintah, harus berupaya dan melipatgandakan iltizam dalam bersolidariti serta wala’ atau kesetiaan kepada pemimpin, bersama saf pimpinan.

“Saya menyeru seluruh ahli UMNO terus mempamerkan ketahanan dan jati diri pada tahap tertinggi bersama semua pihak lain yang sedar serta bersedia memperkasakan perpaduan ummah dan mengukuhkan tahalluf siyasi bersama kita,” katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Annuar berkata jentera Penerangan UMNO harus memahami secara mendalam ancaman risiko geopolitik susulan krisis yang berlaku di negara luar kerana ia boleh meruntuhkan perpaduan di negara ini.

Beliau berkata ancaman tersebut kini semakin menjadi kenyataan melalui percaturan dilakukan secara terancang oleh pihak yang ingin menguasai geopolitik.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Ketereh di kediamannya di Bukit Marak di sini, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata kesan ancaman risiko geopolitik menyebabkan beberapa negara seperti Syria, Palestin, Mesir, Iraq dan Libya menjadi mangsa peperangan sesama sendiri.

“Saya menggunakan pendekatan “kayu untuk menumbangkan kayu” iaitu menggunakan orang dalam negara itu sendiri untuk bertelingkah sehingga kekuatan politik menjadi lemah akibat pergeseran dalaman,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *