SERI ISKANDAR, Mengalami masalah kecacatan fizikal pada kedua belah kaki sedikit pun tidak mematahkan semangat Aida Fazira Mohd Alias @Ayit, 23, yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menghabiskan pengajiannya dan membawa pulang segulung ijazah.

Anak yatim piatu dari Kampung Selabak, Teluk Intan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Seni Reka Grafik dengan pencapaian (CGPA) 3.3, menjadi antara 2,943 graduan yang menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad hari ini.

Anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu berkata, ibunya Sabariah Hashim, 55, paling banyak berkorban membantu menguruskan hidupnya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum Aidilfitri tahun lalu, ketika dia berada pada semester akhir pengajian.

“Sangat mencabar semasa mula-mula hendak berdikari kerana sebelum ini segala keperluan diuruskan oleh mak. Ayah pula meninggal dunia ketika saya berusia tiga tahun.

“Kadang-kadang saya rasa sedikit pasrah dan patah semangat, tetapi kata-kata mak, ‘Kak Cik boleh buat’ sentiasa terngiang-ngiang dan menjadi penyuntik semangat saya untuk tidak putus asa dan hilang semangat.

“Hari ini adalah hari saya membuktikan kepada semua oenat lelah saya terbayar dan ijazah ini adalah hadiah untuk arwah mak dan ayah saya,” katanya selepas ditemui selepas menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Ke-87 UITM di Dewan UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, di sini hari ini.

Katanya, dia mengalami kecacatan tiada kaki kanan dan kaki sebelah kiri yang mengecil sejak lahir, namun nekad mahu membuktikan dirinya juga mampu berjaya dalam pelajaran meskipun terpaksa berkerusi roda.

“Kawan sepengajian banyak memberi sokongan dan mereka membantu mendukung saya naik dan turun tangga dari asrama hingga ke dewan kuliah bermula sejak mengikuti pengajian peringkat diploma sehinggalah ijazah,” katanya.

Rakannya, Siti Sarah Ibrahim, 23, berkata dia mula mengenali Aida Fazira sejak semester tiga pengajian diploma akan membantu menggendong rakannya itu ke dewan kuliah yang berada di tingkat empat manakala rakan yang lain membantu mengangkat kerusi roda.

“Dia seorang yang sangat cekal, tabah, berdikari dan tidak mengenal erti putus asa dan saya tumpang gembira atas kejayaannya” katanya.

BH Online

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *