Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Fokus Rampas Kembali Selangor

Fokus Rampas Kembali Selangor

UMNO Selangor perlu memberikan fokus kepada usaha untuk memenangi semula negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum memikirkan tentang calon menteri besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu berkata calon menteri besar hanya akan ditentukan jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula negeri itu.

“Lepaskan dahulu PRU14 baru fikir siapa jadi Menteri Besar. Malah Tan Sri Noh Omar sendiri sudah luahkan tidak berminat menjadi menteri besar, hanya tunjuk kepimpinan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, timbalannya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan dua bekas Menteri Bekas Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ditanya mengenai usaha UMNO Selangor menggunakan khidmat bekas menteri besar ketika ini, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata usaha tersebut dilakukan dalam memperkuat strategi bijak merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

“Kita amat hargai usaha dan agenda yang pernah dilakukan tokoh-tokoh sebelum ini yang masing-masing mempunyai jasa dan pengorbanan tersendiri. Walaupun pernah berada dalam pentas berbeza, namun mereka pulang kepada UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan UMNO Selangor supaya lebih bijak dan tidak terperangkap dengan persepsi umum jika ingin merampas semula negeri tersebut daripada genggaman pembangkang.

Beliau berkata UMNO Selangor perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati dan minda pengundi Selangor yang pernah dihambat dengan permainan persepsi sewaktu pilihan raya umum (PRU) ke-13.

“Kita sedar ia tugas yang mencabar. Harus bekerja keras dan bijaksana. Kerana selama ini, atas beberapa isu yang berlaku terdahulu, maka kita terperangkap dengan keputusan yang terlalu mahal di mahkamah pendapat umum.

“Jadi, UMNO Selangor perlu fokus kepada mempertingkatkan keserasian dalam barisan kepimpinan yang digerakkan bersama-sama dengan jentera parti dan bersiapsiaga sepenuhnya,” katanya.

Leave a Reply

Top