Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > FILEM OLA BOLA MENYENTUH EMOSI RAKYAT MALAYSIA

FILEM OLA BOLA MENYENTUH EMOSI RAKYAT MALAYSIA

mh online

Ulasan Oleh : Zabidi Hj Saidi
(Mantan Editor Akhbar Watan)

Pada tahun 2014, saya telah menonton filem kantonis tempatan “The Journey” arahan Chiu Keng Guan yang memecah panggung dengan kutipan sebanyak RM17 juta (rekod itu dipecah oleh filem Polis Evo pada tahun lepas).

image

Saya tertarik dengan filem The Journey itu. Apabila Chiu Keng Guan menghasilkan filem terbaharunya, Ola Bola sekali lagi saya terpanggil untuk menonton filem arahan beliau. Memang ternyata filem yang bertemakan sukan itu menyentuh emosi rakyat Malaysia.

Tidak sangka pula Chiu dapat melahirkan sebuah filem Malaysia yang memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Inilah filem yang kita cari selepas bosan menonton filem Melayu yang genre komidi, seram dan cinta.

Filem Ola Bola ada kelainan kerana ia dapat menarik penonton dari semua kaum sedangkan filem Melayu hanya dapat menarik penonton Melayu. Oleh itu lrbih banyak filem seperti ini dihasilkan pada masa akan datang supaya semua kaum dapat menonton sebuah filem bersama.

Kebetulan ketika saya menonton filem ini semalam di Nu Sentral, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menonton bersama 30 orang pelajar dari kawasan parlimennya. Selepas tayangan filem tersebut, pengarah Chiu bersama dua pelakonnya Marianne Tan dan Saran Kumar muncul di pentas memperkenalkan diri.

Ola Bola merupakan sebuah filem bertemakan sukan arahan Chiu Keng Guan dan dibintangi oleh JC Chee (Tauke), Luqman Hafidz (Ali), Saran Kumar Manokaran (Muthu), Marianne Tan (Marianne), Katrina Ho (Tan Siew Lee),Bront Palarae (Rahman) dan Frankie Lee (pelakon The Journey).

Filem ini mengisahkan mengenai kegemilangan pasukan bola sepak Malaysia sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980. Filem ini mula ditayangkan kepada umum pada 28 Januari 2016.

Ola Bola mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kutipan mencecah RM2.5 juta setakat empat hari mula ditayangkan dengan pengkritik filem menyifatkannya sebagai filem Malaysia bertahap lima bintang yang menyentuh emosi.

Kisah Ola Bola bermula ketika seorang wartawan bernama Marianne yang ditugaskan untuk membuat kajian tentang pasukan bola sepak negara yang telah mencipta nama pada era 80-an dahulu yang mana ketika itu nama Malaysia dalam sukan bola sepak begitu digeruni oleh pasukan lawan khasnya di rantau Asia. Marianne mula merasa bosan dengan kerjayanya dan membuat keputusan untuk berhijrah ke England. Sebelum dia meninggalkan negara, dia membuat keputusan untuk menyiapkan tugasannya buat kali terakhir. Namun, dia menemui suatu perkara yang ternyata mengubah hidupnya.

Mengimbau kembali ketika di awal era 80-an, pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan dengan cabaran apabila pemain-pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting. Keadaan semakin rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada mata dunia. Jadi, barisan pemain harus mengetepikan hal peribadi demi mengharumkan nama negara. Ketika semangat kembali menyemarak dalam diri, pasukan negara sekali lagi diduga dengan satu cabaran yang mematahkan semangat mereka dan harapan negara.

Ola Bola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini akan membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh ikhtibar ini akan membawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Luqman Hafidz merupakan seorang pelakon baru. Pemain terbaik Khairy Jamaluddin Cup 2014 ini berjaya mendapat watak utama sebagai Ali di dalam filem ini hasil gambar selfienya bersama Khairy Jamaluddin yang diletakkan di dalam resumenya. Pihak produksi telah menyediakan kelas selama dua bulan untuk pelakon yang terlibat bagi menghayati watak yang diberikan. Filem ini menjalani pengambaraan di Stadium Merdeka. Filem ini menggunakan 60 peratus Bahasa Melayu dan selebihnya dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil. Sebuah set fun fair telah dibina untuk filem ini.

Saya antara berjuta-juta rakyat Malaysia yang menyaksikan secara langsung menerusi kaca tele­visyen, perlawanan penuh drama­tik itu.

Gol kemenangan pasukan negara yang dijaringkan oleh pemain penyerang James Wong hasil lorongan pemain sayap kiri Hassan Sani akan kekal sampai bila-bila dalam ingatan ini. Ketika itu satu Malaysia bergema!

Setelah sekian lama disajikan dengan tema cinta terhalang, cinta tak kesampaian, anak derhaka menjadi kaya, peperangan sesama gengster atau perlumbaan motor dan kereta mat rempit, Ola Bola wajar diberi pujian kerana mengetengahkan satu tema perpaduan, perjuangan, semangat kerjasama sejati bagi mencapai kejayaan dalam bidang sukan demi Malaysia.

Tema sedemikian walaupun kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi digarap dan disampaikan secara mendalam dan penuh makna serta sangat dekat dengan latar masyarakat majmuk di Malaysia. Jalan ceritanya menyentuh pera­saan setiap penonton.

Sebak dan terharu melihat semangat perjuangan tidak ber­belah-bahagi para pemain dalam pasukan kebangsaan ketika itu. Lihat sahaja pada babak ketika mereka dibawa menaiki helikopter di akhir sesi latihan intensif untuk ke Stadium Merdeka.

Sesiapa sahaja pasti sebak mendengar lagu Inilah Barisan Kita, yang mengiring perjalanan mereka. Lagu yang sama terus gamat berkumandang di Stadium Merdeka pada malam perla­wanan penuh bersejarah itu. Inilah Barisan Kita juga mengiringi detik kejayaan gemilang pasukan negara.

Sehingga kini lagu tersebut terus menjadi pembakar sema­ngat atlet negara yang bertanding dalam apa jua acara sukan.

Filem tersebut bukan sekadar bercerita tentang sukan bola sepak. Ola Bola menceritakan kehidupan harian rakyat Malaysia pelbagai keturunan ketika itu. Filem ini turut mengangkat tema persahabatan, perjuangan penuh ranjau, kekeluargaan dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Chow Kwok Keong, Ahmad Ali, Muthu Kumar, Eric Yong, Ong Tiam Chai dan Muhammad Abu adalah watak-watak dalam Ola Bola yang datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Walaupun mereka anak penoreh getah, penjual kelapa dan anak kepada tauke balak yang kaya-raya, kesemuanya berkongsi satu semangat dan harapan yang sama iaitu mengharumkan nama pasukan bola sepak negara.

Dalam filem itu digambarkan setiap pemain ada masalah hidup tersendiri tetapi demi bola sepak Malaysia segalanya diketepikan.

Kwok Keong sebagai contoh berhadapan dengan dilema sebagai anak sulung yang perlu membantu keluarga dan pada masa yang sama mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Muthu pula daripada keluarga yang miskin menyebabkan cita-citanya untuk berjaya dalam bola sepak ditentang hebat ayahnya.

Eric Yong pula walaupun berasal dari golongan berada dan kaya, sanggup mengetepikan semua itu demi cinta kepada sukan bola sepak dan semangat mahu menyumbang bakti kepada pasukan kebangsaan.

Filem ini benar-benar memaparkan semangat 1Malaysia. Para pelakon pelbagai keturunan bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing tetapi berkongsi satu matlamat iaitu memastikan Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980.

Filem ini memberi mesej mudah, selagi kita bersatu dan be­kerjasama, kita boleh mencapai apa sahaja kejayaan. Kecintaan kepada bola sepak menyebabkan mereka melupakan segala perbezaan latar belakang dan pandang­an bagi memastikan pasukan kebangsaan berjaya.

Sukan khususnya bola sepak adalah medium perpaduan yang terbukti paling berkesan, walaupun apa yang dipaparkan dalam Ola Bola sukar dilihat lagi dalam era ini.

Leave a Reply

Top