Lebih 5,000 spesies orkid serta 100 jenis buah dan sayuran akan dijual pada Program Fiesta Buah, Bunga dan Makanan (4F)’ 2017 yang akan dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini selama empat hari mulai 24 Ogos ini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA Mansor Omar berkata program itu bakal berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng bersempena sambutan bulan kebangsaan. Katanya jualan ikan hiasan dan haiwan kesayangan, jualan makanan popular negeri, ulam-ulaman dan produk florikultur serta landskap juga bakal diadakan pada program tersebut selain pelbagai acara yang bermanfaat untuk pengujung.

“Malah, kita menjual produk-produk dengan harga istimewa iaitu 50 hingga 70 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya dalam sidang media pada Majlis Prapelancaran Program 4F, di sini.

Bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, program 4F yang turut dikenali sebagai FAMAfest itu dijangka bakal dikunjungi lebih 200,000 pengunjung dari seluruh negara selain pengunjung antarabangsa.

Mansor berkata program itu turut menyediakan beberapa seminar dan bengkel keusahawanan serta program-program keagamaan termasuk ceramah agama daripada penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim.

“Beberapa selebriti tanah air turut akan bersama-sama menjual produk mereka seperti Fauzi Nawawi dan Datuk Seri Vida,” katanya.

Katanya pengunjung juga boleh menikmati pelbagai makanan popular tempatan yang terbahagi kepada empat konsep iaitu makanan hispter, makanan tular (di laman media sosial), produk nostalgia dan ‘foodgasm’. “Inilah salah satu tarikannya yang mana pengunjung dengan mudahnya boleh menemui makanan-makanan yang tular di laman media sosial di program tersebut yang kita kumpulkan terutama produk yang popular di Perak,” katanya.

Mansor berkata antara objektif program tersebut adalah untuk mewujudkan rangkaian pemasaran terutama golongan usahawan, petani, pemborong, pengeksport dan peruncit selain memperluaskan lagi pasaran produk Agromakanan Tempatan.

“Melalui penganjuran program ini, masyarakat dapat melihat peranan Fama dalam memasarkan hasil-hasil pertanian yang berkualiti dengan harga yang berpatutan selain mempertingkatkan tahap keusahawanan serta menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran pertanian,” katanya Mansor berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan mencecah RM2 juta sepanjang program itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *