KUALA LUMPUR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melakukan pembersihan menyeluruh dalam organisasi itu bagi memulihkan semula imejnya yang terjejas, baru-baru ini.

Mohd Puad menerusi satu status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya mempersoal apakah tindakan lanjut pihak FGV setelah Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi FELDA yang baharu manakala Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pengerusi FGV.

“Perniagaan juga melibatkan soal persepsi. Jika persepsi negatif masih melanda FGV, harga saham tetap terjejas.

“Justeru, saki baki yang menjadi ‘malaon’ (penyangak) di dalam FGV perlu secara bermaruah dan sukarela meletak jawatan dan meninggalkan FGV,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan FGV supaya tidak lagi menyusahkan Perdana Menteri seperti yang berlaku sebelum ini apabila perlu masuk campur bagi menghentikan kekalutan apabila Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV ‘berperang’ secara terbuka.

“Jangan tunggu sehingga pihak kerajaan dan pimpinan atasan mengambil tindakan terhadap mereka. Berhenti segera,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Mohd Puad juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera mengambil tindakan terhadap mereka yang mengamalkan rasuah ketika berada di dalam FGV.

“SPRM juga perlu bertindak segera dan mengambil tindakan ‘without fear and favor’ (tanpa rasa takut dan memihak) kepada mereka yang meninggalkan kudis terhadap FELDA dan FGV.

“Pengerusi FELDA dan FGV perlu diberi peluang sepenuhnya memimpin ‘team’ (pasukan) baharu demi kepentingan rakyat,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *