Anda di sini!
Utama > Sukan > Felda United Dahului Persada Liga Super, Benam Terengganu FA

Felda United Dahului Persada Liga Super, Benam Terengganu FA

Terengganu FA gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 1-4 kepada Felda United pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, Isnin malam.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Penyu kendalian Mike Mulvey kekal di tangga keempat liga dengan kutipan sembilan mata selepas beraksi enam perlawanan, manakala Felda United naik ke puncak liga.

Kedudukan Felda United di tangga teratas dijangka berubah sekiranya pesaing terdekat, Johor Darul Ta’zim mencatat kemenangan ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Selasa.

Pada aksi ini, pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Joseph Kalang Tie pada minit ke-24, namun pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, selang dua minit kemudian menerusi D. Christie Jayaseelan yang menanduk masuk hantaran Francis Forkey Doe.

Pasukan pelawat mendahului perlawanan selepas pemain tuan rumah, Yong Kuong Yong tertanduk bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-66.

Zah Rahan Krangar terus menambah derita pasukan tuan rumah dengan gol ketiga menerusi gerakan solo pada minit ke-70, sebelum Forkey Doe melengkapkan kemenangan bergaya Felda United dengan gol keempat pada minit ke-77 dan keputusan 4-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Leave a Reply

Top