Felda menyasarkan jualan tahunan sebanyak RM2 bilion oleh usahawannya tahun ini setelah mencatatkan RM1.7 bilion pada 2015.

Pengarah Jabatan Pembangunan Usahawan Felda, Datuk Amir Hamdan Yusof berkata sasaran tersebut dapat dicapai melalui usaha seperti pembukaan outlet jualan baharu dan jumlah bilangan usahawan Felda yang semakin meningkat.

“Kita menjangkakan untuk memperoleh RM2 bilion itu termasuk melalui jualan antarabangsa, Sawari dan barangan Felda Best.

“Kita ada sembilan produk antaranya barangan sejuk beku serta kraftangan yang dipasarkan di peringkat antarabangsa seperti Dubai, Singapura dan beberapa negara Asia lain,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan outlet Sawari yang kelapan di Menara Felda di sini.

Jualan pada 2015 mencatat peningkatan berbanding RM1.5 bilion pada 2014, manakala bagi tahun ini, Felda telah mencatat jualan sebanyak RM288.34 juta setakat Februari lepas, katanya.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, kami tidak menjangkakan banyak namun jika kami boleh bertahan dengan prestasi mampan, ia sudah cukup baik,” katanya.

Selain itu, Amir Hamdan turut menyasarkan peningkatan bilangan usahawan daripada golongan muda menerusi beberapa inisiatif seperti latihan usahawan yang giat dijalankan Felda.

“Sehingga kini kita mempunyai 22,398 usahawan dan kita sasarkan 30,000 bagi 2016. Kita akan tumpukan kepada golongan muda kerana mereka inilah generasi yang bakal meneraju ekonomi negara,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai program seperti latihan, sistem inkubator dan padanan perniagaan (business matching) giat dijalankan untuk membimbing mereka termasuk perbincangan dengan institusi kewangan bagi dana kewangan perniagaan.

Mengenai pembukaan outlet Sawari, Amir Hamdan berkata Sawari merupakan singkatan daripada program ‘Satu Wilayah, Satu Industri’ yang dimulakan Felda sejak 2004 untuk membangunkan potensi keusahawanan bagi memberi pendapatan tambahan kepada keluarga peneroka di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Kita juga akan membuka sebuah outlet baharu di Pusat Transformasi Bandar di Ipoh pada Mei ini. Ia telah mendapat kelulusan dan kini dalam proses pengubahsuaian ruang,” katanya.

Beliau berkata Felda juga sedang berbincang bagi tujuan pembukaan outlet Sawari di tempat lain antaranya di kawasan rehat dan rawat Sungai Buloh serta Ayer Keroh.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *