Dua tahun lalu menyaksikan pelakon hebat Fazura muncul dengan single duet bersama kumpulan The Estranged. Lagu berjudul Hancur Aku mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar sehinggakan lagu tersebut terpilih ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31.

Namun lagu tersebut terkandas, tidak berjaya ke peringkat akhir.

Pun begitu, sokongan tetap diberikan kepada pelakon jelita ini. Walaupun dia tidak terlepas daripada menerima kritikan, namun itu bukanlah penghalang bagi dirinya untuk berhenti menyanyi. Malah ramai terus memberikan sokongan kepadanya.

Ini dibuktikan apabila Fazura menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman berprestij, Universal Music bertempat di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

“Saya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak Universal Music untuk menguruskan karier seni saya kerana portfolio syarikat rakaman ini cukup baik.

“Lihat sahaja rekod sebelum ini, banyak penyanyi hebat bernaung dengan Universal termasuk Yuna dan Datuk Siti Nurhaliza yang menjadikan syarikat rakaman ini sebagai pengedar album.

“Oleh itu, bukan sahaja kerja nyanyian saya dapat dikembangkan dengan lebih baik tetapi memastikan kerjaya seni saya lebih terurus dan terjamin. Malah saya juga percaya bahawa Universal Music akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong, mempercayai bakat Fazura dengan melihat perkembangan kerjayanya di lapangan seni hiburan begitu memberangsangkan.

Justeru, keputusan untuk mengikat kontrak dilihat mampu mengembangkan kerjaya Fazura ke peringkat antarabangsa.

“Pihak kami telah lama memerhatikan Fazura.  Sebagai anak seni, dia memiliki perjalanan karier yang baik dan memberi pengaruh yang besar terhadap peminatnya.  Oleh itu, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengikat kontrak dan mengambil tanggungjawab serta memainkan peranan besar untuk mencorakkan kerjaya seninya,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, aktres popular menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia ini, terus diberi ruang oleh Universal Music untuk berkolaborasi bersama pemenang The Voice Filipina musim kedua, Jason Dy, dengan lagu Nothing Like Pag Ibig.

“Jalinan usaha sama ini saya percaya mampu memberikan hasil pasaran yang baik kepada Fazura dan Jason,” tambah Kenny Ong. Untuk info, lagu Fazura dan Jason kini boleh didapati menerusi semua medium muzik.