Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > FAMA Tumpu Pengeluaran Durian Bermutu Tinggi

FAMA Tumpu Pengeluaran Durian Bermutu Tinggi

PORT DICKSON, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini sedang fokus kepada pengeluaran durian bermutu tinggi berikutan permintaan yang sangat menggalakkan dari negara China.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata berikutan itu, FAMA kini sedang giat memberi pengetahuan dan pendedahan teknologi baharu yang membolehkan hasil dikeluarkan lebih cepat berbanding kaedah lama kepada pengusaha tanaman durian di seluruh negara.

“FAMA ingin menarik minat masyarakat untuk mula melihat sektor pertanian dalam bidang penanaman durian bermutu tinggi khususnya klon Musang King sebagai satu daripada sumber kekayaan baharu negara yang boleh diterokai serta dimanfaatkan.

“Durian Musang King dikategorikan sebagai durian premium. Durian ini bukan sahaja digemari oleh penggemar domestik, malah turut digemari oleh pelancong asing terutamanya dari China dan Singapura ketika mereka berkunjung ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Kursus Upskilling Pemasaran dan Penanaman Durian Musang King di Institut Latihan FAMA di sini, hari ini.

Katanya FAMA turut mengeksport durian ke Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Australia serta menyasarkan beberapa pasaran eksport baharu seperti Kanada dan Korea Selatan untuk musim pengeluaran durian yang seterusnya.

Katanya durian dieksport ke luar negara, sama ada dalam bentuk segar (sebiji), secara sejuk beku (ulas sahaja) dan dalam bentuk pes (isi tanpa biji).

“Untuk mengeksport durian ke China, negara itu hanya membenarkan kita untuk mengeksport dalam bentuk durian ulas yang dibekukan dan pembekuan itu hendaklah dibuat di kilang ataupun perusahaan yang mendapat hak akreditasi daripada pihak ‘General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine of the People’s Republic of China’ (AQSIQ).

“Setakat ini, kita mempunyai 21 tempat yang mendapat kelulusan pihak AQSIQ untuk kita eksport durian ke negara itu. Ekoran itu, nilai eksport durian Malaysia ke China bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.

Seramai 500 orang yang terdiri daripada para penanam durian, mereka yang baru hendak menceburkan diri dalam penanaman durian khususnya klon Musang King menyertai kursus tersebut.

Kursus itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai kaedah terkini penanaman durian Musang King dan pemasaran durian kepada mereka yang berminat untuk terlibat dalam industri durian.

Leave a Reply

Top