Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > FAMA sasar RM 15 Juta Melalui ‘My Best Buy’

FAMA sasar RM 15 Juta Melalui ‘My Best Buy’

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan hasil jualan program ‘My Best Buy’ meningkat hingga RM15 juta pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) lembaga itu Mansor Omar berkata sasaran berkenaan berdasarkan rekod nilai jualan program itu yang meningkat setiap tahun sejak program itu diperkenalkan pada 2014.

“Hingga hari ini, sejumlah RM11.7 juta nilai jualan telah dicatatkan dan kami jangkakan jumlah itu akan meningkat hingga RM13 juta pada penghujung tahun ini. Jumlah nilai jualan itu jauh lebih tinggi berbanding RM9.4 juta yang dicatatkan tahun lepas,” dipetik sebagai berkata.

My Best Buy merupakan program menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup manakala pengguna boleh mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Selain peningkatan nilai jualan, beliau berkata jumlah peserta dan lokasi program itu juga sentiasa meningkat berikutan penjimatan yang diperolehi pengguna sebanyak lima hingga 20 peratus bagi barangan segar terutama ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Hingga hari ini program ini telah diadakan di 146 lokasi berbanding hanya 92 pada 2016. Jumlah peserta juga meningkat dengan kadar yang baik iaitu sebanyak 1,800 dicatatkan setakat hari ini berbanding 1,583 peserta tahun lepas.

“Jumlah peserta, lokasi dan jenis barangan yang dijual bergantung pada sasaran dan permintaan pelanggan. Kalau di institusi pengajian tinggi jenis barangan yang dijual lebih kepada makanan yang sedia dimakan, dan sekiranya diadakan di kawasan perumahan barangan segar yang akan dijual,” kata Mansor.

Beliau berkata FAMA kini dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai peserta yang menyediakan barangan segar menyertai program itu.

“FAMA mahukan 50:50 peserta yang menyertai program ini terlibat membekalkan barangan segar dan barangan industri asas tani seperti barangan sedia dimakan atau makanan sejuk beku,” katanya.

Pada masa ini lebih banyak peserta industri asas tani menyertai program itu, dan untuk itu, FAMA telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti ladang kontrak dan ekspo usahawan.

“FAMA juga menyediakan pelbagai jenis dana untuk membantu mereka yang berminat dalam bidang pertanian ini , tetapi mereka perlu menunjukkan komitmen dari segi hasil produk serta minat yang mendalam untuk mendapatkan dana tersebut. Ia penting supaya dana itu dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Leave a Reply

Top