Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ezam Mahu Tubuh Parti Baru Lawan Rasuah

Ezam Mahu Tubuh Parti Baru Lawan Rasuah

Dua bekas pemimpin Umno sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang bermatlamat memerangi rasuah di negara ini.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menjadi pelopor kepada parti baharu yang dilaporkan akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menarik golongan belia.

Khairuddin mengalu-alukan idea yang diilhamkan oleh Ezam sambil menambah ia satu cadangan yang tepat pada masanya.

“Ini akan menjadi satu-satunya parti politik di Malaysia yang mencerminkan ‘parti hijau’ di negara lain.

 “Sebarang keinginan untuk memerangi rasuah habis-habisan meningkatkan semangat saya.

“Oleh itu, saya serius mempertimbangkan dengan Ezam untuk menubuhkan sebuah parti baharu yang memberi tumpuan semata-mata kepada usaha membanteras rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairuddin berkata beliau kini akan melakukan perbincangan secara terperinci dengan Ezam mengenai hala tuju keseluruhan parti baharu itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga mahu parti baharu itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Jika parti baharu ini akan menjadi sebahagian daripada Pakatan dan boleh diterima sebagai rakan parti, maka saya amat berminat untuk menjadi salah seorang pengasasnya,” kata Khairuddin.

Difahamkan Khairuddin dan Ezam turut meminta parti baharu ini untuk dibenarkan bertanding di kerusi Parlimen Pekan dan Titiwangsa pada PRU-14.

Khairuddin berkata ini kerana dua kerusi itu milik individu yang menerajui Kementeri Kewangan yang didakwa menjadi ‘punca isu kewangan negara’.

Parlimen Pekan adalah kerusi yang dipertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala Titiwangsa milik Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

 

Leave a Reply

Top