Everton terus berdepan nasib buruk dalam kempen Liga Europa apabila tewas 2-1 di tangan Olympique Lyonnais pada aksi di laman sendiri, awal pagi tadi sekali gus kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan E.

Everton begitu menagih kemenangan selepas sekadar meraih satu mata daripada dua perlawanan pertama namun mereka ketinggalan seawal minit keenam menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Nabil Fekir.

Ashley Williams mengikat kedudukan pada minit ke-69 selepas bernasib baik sekadar dilayangkan kad kuning apabila mencetuskan pergaduhan yang menyaksikan dia menolak penjaga gol lawan, Anthony Lopes.

Tuan rumah hampir mendahului permainan apabila sepakan percuma Gilfi Sigurdsson sedikit melewati palang namun bekas penyerang Chelsea, Bertrand Traore meledak gol kemenangan untuk menghadiahkan mata penuh buat pelawat.

Pengendali The Toffees, Ronald Koeman nyata tertekan apabila anak buahnya sekadar meraih tiga kemenangan dalam 12 perlawanan setakat ini dan menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Kami sentiasa merasai tekanan daripada diri sendiri serta tekanan dari luar,” kata Williams.

“Amat mengecewakan apabila kami gagal meraih keputusan yang positif kerana kami beraksi dengan baik dan mencipta banyak peluang.” – Reuters

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *