Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menjalin usaha sama dengan AirAsia bagi menawarkan tambang istimewa tren KLIA Ekspres pada harga RM48 sehala dan RM88 bagi perjalanan pergi balik untuk penumpang syarikat penerbangan itu mulai 21 September.

Penumpang kini boleh menempah tiket masing-masing untuk pemindahan terpantas Kuala Lumpur menerusi laman web AirAsia, menjadikannya penyelesaian sehenti, kata ERL dalam satu kenyataan hari ini.

“Dengan penyertaan KLIA Ekspres, penumpang AirAsia kini mudah mengurus dan merancang perjalanan mereka menerusi satu laman,” kata Naib Presiden Kanan Pengurusan Pemasaran dan Jualan ERL Yeow Wei-Wen.

Perjalanan antara KL Sentral dan KLIA2 hanya mengambil masa 33 minit.

Tambang istimewa bagi kanak-kanak (dua hingga 12 tahun) KLIA Ekspres pada RM22 sehala dan RM40 bagi perjalanan pergi balik juga ditawarkan menerusi laman itu.

Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee, berkata menerusi usaha sama baharu ini, ahli AirAsia BIG akan memperoleh 100 mata BIG ke atas pembelian setiap tiket dewasa sehala KLIA Ekspres dan 200 mata BIG untuk tiket dewasa pergi balik.

Tawaran Mata BIG AirAsia ini hanya sehingga 20 Oktober 2017.

Penumpang boleh membeli tiket KLIA Ekspres ini menerusi airasia.com di halaman Manage My Booking.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *