Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Elemen Tradisional Penting Dalam Pembangunan Bagan Datuk

Elemen Tradisional Penting Dalam Pembangunan Bagan Datuk

Elemen tradisional perlu terus dikekalkan dalam pembangunan Bagan Datuk yang secara rasmi diisytiharkan sebagai daerah pentadbiran ke-12 di Perak pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan perimbangan antara sistem pentadbiran dan elemen nilai-nilai tradisional, ia diyakini dapat memantapkan pembangunan di daerah Bagan Datuk.

“Eleman tradisional perlu dikekalkan terutama yang menyentuh tentang kedaulatan dan kesultanan. Kita tidak menolak dunia tapi pada masa sama mendokong akhirat,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berucap pada majlis pengisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah pentadbiran ke-12 oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid meminta semua pihak sama ada yang sehaluan dengannya atau sebaliknya supaya dapat memastikan pembangunan daerah Bagan Datuk dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Kerjasama daripada semua pihak terutama pegawai peringkat Persekutuan dan negeri amat saya perlukan.

“Saya sendiri akan pantau pembangunan di daerah ini, bukannya campur tangan tapi sekadar pastikan komitmen yag dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid cadangan supaya Bagan Datuk dijadikan daerah pentadbiran baharu merupakan satu bentuk jalinan kombinasi erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri kerana ia direalisasikan hanya dalam masa tiga bulan selepas dibentangkan kepada jemaah menteri pada 16 Mac tahun lalu.

“Dengan komitmen tinggi daripada kerajaan Perak, hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja Bagan Datuk ini diwartakan sebagai daerah pentadbiran baharu iaitu pada 16 Jun 2016,” katanya.

Bagan Datuk merupakan daerah ke-12 di Perak selepas Kinta, Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, Hulu Perak, Manjung, Kerian, Batang Padang, Kuala Kangsar, Kampar, Perak Tengah serta Muallim.

Leave a Reply

Top