Pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dirancang dengan rapi dan tersusun hasil daripada komitmen kerajaan yang tinggi dalam menyediakan ekosistem yang kondusif untuk menggalakkan pertumbuhan dan kemapanan sektor itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rangka kerja institusi yang baik, pelan dasar yang jelas, pelaksanaan yang cekap serta program yang komprehensif dan bersepadu bagi PKS bertujuan untuk membangunkannya sebagai peserta global yang dinamik.

“Pembangunan PKS menjadi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 berikutan Malaysia melangkah ke arah negara berpendapatan tinggi. Usaha diperhebatkan untuk memacu pelaksanaan enam program berimpak tinggi (HIP) dan 26 inisiatif lain di bawah pelan induk PKS untuk mencapai matlamat dan sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Enterprise 50 (E50) 2016 di sini pada Jumaat malam.

Ahmad Zahid berkata walaupun menghadapi cabaran daripada pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan pembaharuan ekonomi dalam ekonomi domestik, kerajaan yakin PKS akan terus berdaya tahan dan dapat menghadapi cabaran.

Beliau berkata langkah proaktif yang berterusan daripada kerajaan untuk mengurangkan kesan daripada kelembapan ekonomi, selain permintaan domestik yang kukuh dan pasaran pekerjaan yang stabil dijangka membantu mengurangkan tekanan ke atas pertumbuhan PKS.

“Bagi 2016, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS diunjurkan berkembang antara 5 peratus dan 5.5 peratus,” katanya.

Pada 2015, PKS menyumbang 36.3 peratus kepada KDNK daripada 29.4 peratus pada 2005, manakala penguasaan PKS kepada pekerjaan meningkat kepada 65.5 peratus berbanding 56.8 peratus pada 2005.

Katanya eksport PKS semakin meningkat untuk tempoh beberapa tahun ini kepada 17.6 peratus.

Ahmad Zahid berkata dengan semua insentif utama ini disusun bagi 2017, termasuk sebanyak RM6.7 bilion diperuntukkan bagi pembangunan PKS dalam Bajet 2017, ekosistem keusahawanan dijangka menjadi lebih pesat dan PKS akan dapat meneruskan perniagaan dengan tahap keyakinan yang dipertingkatkan.

Menurutnya, usaha liberalisasi pasaran berterusan susulan globalisasi, juga membawa kepada pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang meliputi kawasan berpenduduk 630 juta orang dan pada akhirnya menyediakan pertumbuhan pasaran yang berpotensi untuk PKS Malaysia.

“Ini hanya menjadikan keadaan lebih kritikal untuk PKS bersaing di peringkat global. Malah, bagi membantu PKS kita berkembang sehingga melangkaui sempadan, kerajaan melaksanakan (pelbagai) langkah penting dan pendekatan progresif untuk memperhebatkan pengantarabangsaan PKS kita menerusi peningkatan daya saing dan eskport global mereka,” katanya.

E50 merupakan program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian PKS Malaysia untuk terus mencapai kemajuan pada masa depan dan sebanyak 50 pemenang dipilih berdasarkan keupayaan kewangan serta kecekapan operasi dan pengurusan.

Sejumlah 1,355 syarikat dengan penarafan empat dan lima bintang dipelawa untuk pencalonan, namun hanya 50 syarikat akan menerima pengiktirafan berdasarkan kecemerlangan masing-masing.

Kesemua syarikat itu perlu melalui proses penilaian yang ketat berdasarkan pelbagai penanda aras termasuk proses pengurusan, inovasi, strategi pemasaran, penggunaan teknologi, perolehan eskport, pelaburan modal, latihan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bertemakan ‘Celebrating Malaysia’s Enterprising Spirit’ (Meraikan Semangat Daya Usaha Malaysia), anugerah menandakan 19 tahun penganjurannya sejak diperkenalkan pada 1997.

Ia juga terbukti menjadi inisiatif perkongsian awam-swasta yang bernilai bagi mengetengahkan kejayaan perniagaan tempatan dalam usaha mempromosikan jenama Malaysia di persada global.

Penganjuran anugerah itu adalah hasil kerjasama erat antara SME Corp Malaysia, Deloitte Malaysia serta rakan strategik seperti Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Telekom Malaysia (TM), RHB Bank beserta Media Prima dan Malaysia SME sebagai rakan media.

Di sebalik persekitaran ekonomi mencabar yang dihadapi penggiat industri hari ini, pemenang tahun ini menunjukkan pelbagai peluang perniagaan yang cerah di mana 70 peratus daripada mereka sudah menembusi pasaran asing dan SME Corp. Malaysia percaya jumlah itu akan meningkat daripada semasa ke semasa.

Ini seiring dengan agenda kerajaan dalam menggalak pengantarabangsaan perniagaan untuk PKS Malaysia bagi mencapai sumbangan 41 peratus kepada KDNK, 65 peratus dalam penguasaan pekerjaan dan 23 peratus kepada eksport sebagai negara berpendapatan tingggi pada 2020.

Untuk kali pertama, kategori baharu Anugerah Usahawan Wanita E50 diperkenal tahun ini yang bertujuan mempromosi usahawan wanita sebagai perniagaan contoh, menetapkan standard pencapaian untuk semua syarikat lain meneladinya, tanpa mengira pemilikan jantina.

Sejumlah 14 peratus pemenang adalah syarikat yang dimiliki usahawan wanita.

Sepuluh pemenang teratas tahun ini ialah Exis Tech Sdn Bhd, Hexa Food Sdn Bhd, IX Telecome Sdn Bhd, Koyoko M P Sdn Bhd, MYCO2 Sdn Bhd, PRM Foods & Marketing Sdn Bhd, Sin Sing Coffee Sdn Bhd, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, ST Tiew Dental Group Sdn Bhd dan Top-Mech Provincial Sdn Bhd.

Pemenang menerima trofi anugerah Enterprise 50 serta sijil.

Mereka secara automatik dicalonkan untuk Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Produktiviti Kebangsaan, boleh menggunakan logo pada risalah korporat mereka, dipaparkan di laman utama Enterprise 50, iaitu www.e50.com.my dan menerima liputan daripada pelbagai media.

Turut hadir pada majlis penyampaian anugerah itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid Mohamed dan Pengarah Eksekutif Deloitte Malaysia, Datuk Mohd Nizar Mohd Najib.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *