KUANTAN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Beliau berkata perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam berbanding purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih semasa musim perayaan , menjadikan ECRL medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa sebaik ia siap dibina.

“Projek ECRL juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur. Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucaptama semasa majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral di sini hari ini, yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan tiga Menteri Besar negeri-negeri pantai timur Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *