KUCHING, Kira-kira dua tahun lalu, wanita ini tidak memiliki pekerjaan atau sumber kewangan tetap, hanya bergantung kepada tawaran diterima sama ada untuk membantu rakan berniaga pisang goreng atau ketika kenduri-kendara.

Mengakui kehidupannya ketika itu agak sukar, Hamidah Tinggal, 38, dari Kampung Buntal, Santubong dekat sini berkata pendapatan yang tidak menentu menyebabkan dia kadangkala terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami seorang pekerja am untuk perbelanjaan bulanan.

Beliau berkata sinar baharu kehidupan mereka sekeluarga mula terbit sebaik menyertai program 1Azam dan memulakan perniagaan menjual aiskrim secara kecil-kecilan.

Apabila dimaklumkan mengenai program 1Azam cepat-cepat saya mohon, Alhamdulillah diterima dan sejak awal 2015 saya mulakan perniagaan menjual aiskrim di kampung ini, katanya.

Sebagai peserta beliau menerima kelengkapan peralatan seperti mesin aiskrim, khemah dan banner untuk memulakan perniagaan.

Hamidah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata dia menjalankan perniagaan hanya pada hujung minggu kerana pada waktu itu kawasan perkampungan nelayan mereka dikunjungi ramai pelawat.

Pendapatan kasar setiap hari sekitar RM100-RM120. Biasanya hasil pendapatan menjual aiskrim ini saya gunakan untuk perbelanjaan harian sebelum suami terima gaji. Bolehlah beli barangan keperluan sedikit di samping memenuhi kemahuan anak-anak, katanya.

Beliau berkata 1Azam memberikan mereka sekeluarga peluang untuk keluar daripada kepompong kemiskinan tegar dan percaya pendapatannya sebagai peserta boleh ditambah baik lagi.

1Azam yang merangkumi lima program utama iaitu Azam Tani, Azam Niaga, Azam Khidmat, Azam Kerja dan Azam Bandar dilaksanakan bagi menjana dan meningkatkan pendapatan golongan yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.

BERNAMA

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *