Dua wanita asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Kim Chol, seorang warga Korea Utara, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam bersama-sama empat orang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, kira-kira 9 pagi, pada hari berkenaan.

Pihak berkuasa telah mengesahkan pembawa pasport yang tertera dengan nama Kim Chol adalah sebenarnya Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan.

Siti Aisyah merupakan tertuduh pertama manakala Thi Huong adalah tertuduh kedua.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Siti Aisyah dan Thi Huong kelihatan tenang ketika dibawa masuk secara berasingan ke dalam mahkamah kira-kira pukul 10.10 pagi.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin, yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad manakala Siti Aisyah diwakili barisan lima peguam diketuai Gooi Soon Seng dan Thi Huong diwakili peguam S Selvam.

Kedua-dua tertuduh selepas itu dihantar ke Penjara Kajang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *