Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dua Anggota Polis Dipenjara Akibat Rasuah

Dua Anggota Polis Dipenjara Akibat Rasuah

Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas didapati bersalah cuba memperoleh suapan RM6,000 daripada seorang lelaki, lima tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan tertuduh, Lans Koperal Joe Stephen, 31, dan Konstabel Mohd Farid Che Aziz, 33, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Asmadi turut memerintahkan kedua-dua anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dipenjara enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Mereka didakwa bersama-sama cuba memperoleh suapan wang tunai RM6,000 daripada Lee Yong Hock sebagai dorongan untuk melepaskan Lee daripada diambil tindakan bagi kesalahan dikehendaki polis dan memiliki kereta seludup,

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Balai Polis Pandamaran, Klang dekat sini, kira-kira 4.30 pagi pada 3 April 2012.

Joe dan Mohd Farid didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

 

Leave a Reply

Top