Anda di sini!
Utama > Sukan > DSV Mulakan Kembara Selama Dua Minggu Ke Sepanyol Dan London

DSV Mulakan Kembara Selama Dua Minggu Ke Sepanyol Dan London

mh online

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Datuk Seri Hasmiza Binti Othman atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Vida telah berlepas ke Sepanyol Pada awal pagi Isnin dengan ditemani keluarga dan orang kuat Astro.

Beliau dijangka akan berada di Madrid, Barcelona dan London selama dua minggu dalam rangka lawatan beliau untuk mempelari ilmu pengurusan bola sepak profesional di kelab-kelab seperti Real Madrid, Barcelona, chelsea dan Manchester United.

Menurut usahawan kosmetik ini, beliau telah membuat sedikit kajian tentang Real Madrid, Barcelona dan Chelsea sebelum beliau berlepas sebagai persediaan ketika berada disana.

“Saya melihat Real Madrid, Barcelona dan Chelsea sebagai model, bagaimana mereka membangunkan jenama pasukan, pengurusan stadium, dan menjadikan pasukan mereka gah dimata dunia dan kita akan belajar dari mereka serta membawa balik ilmu ini ke kelantan demi pembangunan pasukan PQP-TRW” katanya ketika ditemui di KLIA pada ahad malam.

“Selain ilmu Pengurusan bola sepak dan stadium kita juga akan mengintai pemain-pemain yang bergred C atau B mungkin juga bergred A jika ada untuk dibawa ke Kelantan”

Katanya lagi, pada mulanya beliau hanya berminat untuk menaja bola sepak semata-mata, “namun bila sudah berkecimpung dalam bidang ini saya sudah benar-benar jatuh hati dan bola sepak sudah jadi sebahagian dari jiwa saya sekarang ini”.

“Saya sudah jatuh cinta dengan bola sepak, membangunkan PQP-TRW adalah keutamaan saya. Saya berharap para peminat bersabar dan berilah sedikit masa untuk saya buat sesuatu kepada pasukan ini, bila lihat semangat dan kesatuan penyokong Kelantan saya rasa semakin bersemangat untuk membawa perubahan dalam bola sepak Kelantan” katanya lagi.

“Kita nak lihat pasukan ini berjaya, kita nak pasukan ini senantiasa berada ditangga teratas liga, saya tidak akan berdiam diri dengan prestasi semasa pasukan, saya akan lakukan sesuatu untuk kebaikan pasukan dan penyokong”.

“Dengan sokongan dan doa penyokong semua saya yakin dan percaya usaha ini akan membuahkan hasil yang positif, kerana kita kaya sokongan, semangat dan kesatuan anak Kelantan, kita nak Rahmat Tuhan dalam membangunkan bola sepak, saya tidak pernah terfikir sebelum ini rupanya bola sepak ini boleh menyatukan kita semua. Bola sepak bukan seperti “entertainment” lain yang saya pernah terlibat, rupanya hiburan orang Kelantan adalah bola sepak dan ianya sangat dalam di lubuk hati kita” tambahnya lagi.

Ketika ditanya berkenaan nasib K.Devan, beliau enggan mengulas panjang isu tersebut tetapi tidak menolak ada sesuatu yang baru buat pasukan Kelantan nanti dan ianya akan merubah “Game Plan” pasukan seperti yang diharapkan penyokong semua.

“Saya harap peminat kembali penuhkan stadium untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang kerana inilah satu-satunya pasukan, semangat dan jiwa kita, jangan biarkan ianya kosong”.

Melihat kepada semangat dan kesungguhan Datuk Vida sebagai seorang wanita yang melibatkan diri dalam bola sepak, saya yakin dan percaya pasukan ini akan menemui sentuhannya, tetapi bukanlah dalam masa sehari dua, ianya memerlukan masa dan sokongan semua pihak, tetapi dalam masa yang sama kesilapan ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Top