Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > DSV MAHU DEVAN AMAL PERMAINAN MENYERANG

DSV MAHU DEVAN AMAL PERMAINAN MENYERANG

mh online

Corak permainan secara bertahan yang diperkenalkan Ketua Jurulatih Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), K Devan, dianggap tidak sesuai dengan pasukan itu.

image

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, berkata beliau berpendapat skuad Kelantan sudah serasi dengan corak menyerang sehingga pasukan itu digeruni lawan.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, beliau melahirkan pendapat itu selepas melihat aksi dua perlawanan persahabatan yang menyaksikan Kelantan tewas kepada Kuala Lumpur FC, 0-2 dan T Team, 1-1.

Bagaimanapun, katanya, ia sekadar pendapatnya, tapi Devan perlu melakukan perubahan drastik terhadap mutu jentera serangan, termasuk berusaha meningkatkan kualiti tiga pemain import, Dramane Traore, Jonatan Lucca dan Blazhe Ilijoski.

“Saya sudah menghubungi Devan dan mencadangkan supaya corak permainan Kelantan ditukarkan kepada menyerang. Saya rasa dia (Devan) perlu memperbaiki segala kelemahan dengan segera jika inginkan kemenangan.  

“Namun, saya yakin PQPTRW masih tidak terlambat untuk melakukan transformasi sebelum bertemu Perak, 13 Februari depan. “Saya bersama KAFA dan PQPTRW akan berkampung selama dua hari di rumah saya, Ipoh sebelum perlawanan bersama Perak berlangsung bagi meningkatkan semangat dan motivasi mereka.  

“Apa yang saya mahu, mereka perlu mempelajari sesuatu daripada dua perlawanan persahabatan itu, termasuk kekalahan kepada Kuala Lumpur minggu lalu sebelum berdepan dengan permainan sebenar di kancah Liga Super,” katanya.  

Dalam pertembungan persahabatan terakhir di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini, malam kelmarin, PQPTRW nyaris dimalukan T-Team iaitu pasukan yang baharu melayakkan diri bersama kelompok 11 pasukan Liga Super, apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 pada masa pertama.  

Bagaimanapun, skuad kendalian Rachman Darmawan berjaya mendahului Kelantan menerusi pemain importnya, Timislav Busic, pada minit ke-63 sebelum awang import berasal dari Mali, Traore menyamakan kedudukan, 1-1, pada minit ke-89.  

Sementara itu, Devan berkata, tempoh seminggu sebelum bertemu Perak akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki segera kelemahan pasukan, termasuk memberi latihan pesat terhadap tiga import baharu.  

“Saya sedikit berpuas hati dengan semua pemain berbanding perlawanan persahabatan dengan Kuala Lumpur kerana corak permainan mereka nampak lebih tersusun serta berpeluang untuk menjaringkan gol, cuma tiada penyudah.  

“Memang diakui, saya masih belum ada bayangan kesebelasan utama pemain PQPTRW, namun, ia bakal diputuskan tiga hari sebelum berkunjung ke Ipoh,” katanya yang berpuas hati dengan peningkatan permainan bekas pemain Johor Darul Ta’azim, Mohd Daudsu Jamaluddin.

Leave a Reply

Top