KUALA TERENGGANU, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Zaleha Kamarudin wanita pertama di negara ini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan tauliah perlantikan Zaleha, 56, dari Raub, Pahang pada majlis ringkas, di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini, pagi tadi.

Turut hadir adalah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong dan Ketua Hakim Syarie, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Perlantikan Zaleha itu diumumkan oleh Wan Mohd Zakri, pada majlis makan malam sempena meraikan pentauliahan hakim mahkamah rayuan dan hakim mahkamah rendah syariah, malam tadi.

Wan Mohd Zakri berkata, perlantikan Zaleha sebagai hakim wanita pertama di negara ini diperkenankan oleh Sultan Mizan.

Katanya, tugas utama Zaleha adalah mengendali, mendengar kes rayuan dan mempunyai kuasa untuk membatal serta mengurangkan sabitan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah syariah.

“Zaleha juga boleh mengeluarkan perintah perbicaraan semula atau ulang bicara kes selepas menerima rayuan responden,” katanya.

Sementara itu, Zaleha berkata, perlantikan itu tidak menjejaskan tugasnya sebagai rektor di UIA kerana perbicaraan kes rayuan terutama membabitkan perceraian dan tuntutan harta sepencarian serta hak penjagaan anak hanya bersidang pada setiap Ahad.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah negeri atas kepercayaan diberikan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *