Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak telah menghantar bekalan diesel dan petrol ke Bario semalam bagi mengatasi masalah kekurangan bahan itu di kawasan berkenaan.

Pengarahnya Datuk Stanley Tan berkata, sebanyak 1,000 liter diesel dan 3,000 liter petrol telah dihantar ke kawasan itu.

“Penghantaran kedua akan dilakukan esok (Isnin) dan akan sampai (di sana) pada Selasa kerana jalan yang kurang baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kali terakhir penghantaran ke kawasan tanah tinggi itu dibuat ialah pada 5 Disember lalu.

Jumaat lepas, sebuah akhbar melaporkan berlaku kekurangan diesel serta petrol yang kritikal di Bario sehingga menyukarkan kehidupan harian penduduk di sana.

Mengulas perkara itu Tan berkata, masalah kekurangan bekalan tersebut berpunca daripada program penyeragaman harga yang bermula awal tahun ini.

Menerusi program penyeragaman harga, kerajaan membayar kos pengangkutan supaya harga di pedalaman sama dengan harga di bandar, katanya.

“Diharapkan dengan bermulanya program penyeragaman harga ini yang dilaksanakan oleh kerajaan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan di Bario,” kata Tan.

Bario, satu kawasan pedalaman di utara Sarawak, hanya boleh dihubungi menggunakan pesawat kecil atau dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang mengambil masa sehingga 12 jam dari Miri.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *