Anda di sini!
Utama > Terkini > Dewan Rakyat dan Dewan Negara Bersidang Dibangunan Asal April 2017 – Fadilah

Dewan Rakyat dan Dewan Negara Bersidang Dibangunan Asal April 2017 – Fadilah

mh online

Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dijangka boleh berlangsung di bangunan asal bermula April 2017 apabila kerja baik pulih bangunan utama Parlimen siap dilaksanakan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata sehingga kini kerja baik pulih dan ubah suai bangunan itu sudah mencecah 30 peratus siap daripada keseluruhan enam fasa dengan blok utama masih dalam proses baik pulih.

“Fasa melibatkan blok utama yang menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dijangka siap pada Januari 2017 dan persidangan boleh berlangsung semula di tempat asal bermula April 2017,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak baik pulih blok utama bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Terdahulu Fadillah meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat blok utama bangunan Parlimen serta mendengar taklimat kerja baik pulih yang sedang berlangsung.

Beliau berkata fasa 1 iaitu pembinaan bangunan sementara sudah selesai manakala fasa 2A dan fasa 2B melibatkan baik pulih bangunan utama dan pembinaan blok bangunan baharu enam tingkat, hanya akan mula dijalankan sebaik selesai persidangan kali ini iaitu Januari depan.

Fadillah menjelaskan, kelewatan proses baik pulih bangunan Parlimen adalah disebabkan kerja tidak boleh dijalankan sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kita tak nak ganggu perjalanan Parlimen dengan ramai anggota Parlimen dan orang ramai datang ke sini akan terganggu dengan bunyi bising, kita cuba elakkan daripada melakukan kerja-kerja berisiko tinggi dan berat pada waktu persidangan,” katanya.

Proses baik pulih dan ubah suai kompleks Bangunan Parlimen mula dilaksanakan sejak September 2011 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 melibatkan anggaran kos RM520 juta.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top