IPOH, Persidangan Dewan Belia negeri Perak meluluskan tujuh usul termasuk membangunkan secara inklusif bidang agropelancongan serta perniagaan menerusi trak makanan setelah dibahaskan selama dua hari sejak semalam.

Usul lain yang diluluskan adalah pemerkasaan penyertaan digital wanita ke arah pembangunan masyarakat digital yang cemerlang; memperkasa identiti belia Perak: kesedaran dan penghayatan terhadap seni warisan dan budaya.

Bahasa Melayu kejatidirian bangsa Malaysia: memperkasakan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT); Kesedaran dan mendidik rakyat dalam Industri Revolusi 4.0 seiring dengan matlamat Malaysia 2020 untuk menguasai industri di Asia; Perak Negeri Bersih 2025: ke arah pengurusan efektif dan penyelesaian inklusif serta mendidik dalam menghukum ke arah sifar buli di sekolah.

Speaker DUN Belia, Salbiah Mohamed berkata semua usul tersebut diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara daripada 60 perwakilan.

“Semua usul-usul itu dilihat relevan dan terarah kepada bidang keusahawanan, penggunaan bahasa Melayu, perindustrian, pelancongan dan sebagainya yang melibatkan golongan belia,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurut Salbiah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, berkata Persidangan Dewan Belia negeri Perak yang diwujudkan sejak Februari tahun lalu telah berjaya membawa pelbagai idea untuk dipertimbangkan sama ada di peringkat DUN atau Parlimen Belia Malaysia.

Sementara itu, ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman berkata, kesemua usul itu bukan sahaja mewakili suara seluruh golongan belia di negeri ini, malah ia berpotensi diketengahkan sebagai salah satu dasar kerajaan negeri.

“Rata-rata telah menyuarakan isi hati dan aspirasi khususnya dari generasi muda. Ia relevan dan meliputi semua aspek termasuk kebimbangan kerisauan, pengharapan dan sebagainya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *