Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > DBKL Belanja RM250 Juta Urus Sampah Di KL

DBKL Belanja RM250 Juta Urus Sampah Di KL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membelanjakan sehingga RM250 juta setahun bagi pengurusan sampah di seluruh ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata ia merangkumi antara lain kos pengangkutan, kerja pengutipan sampah dan penghantaran ke tapak pelupusan di Bukit Tagar, Selangor.

“Dalam sehari, antara 2,500 hingga 3,000 tan sampah diangkut ke Bukit Tagar dan setiap satu tan sampah itu sebanyak RM100 terpaksa dibelanjakan.

“Sekiranya orang ramai ada kesedaran untuk uruskan sampah dengan betul, kos itu dapat dijimatkan sehingga RM50 juta dan ia boleh dimanfaatkan untuk pelaksanaan program lain kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program ‘1 Supervisor 1 Transformation Area’ (1S1T) di sini hari ini.

Katanya masyarakat, sama ada penduduk mahupun premis di Kuala Lumpur, didapati membuang sampah 250,000 tan hingga 300,000 tan sampah sehari yang kebanyakannya sisa makanan.

Program 1S1T yang dilaksanakan Alam Flora Sdn Bhd sejak Julai lalu adalah antara inisiatif syarikat pengurusan sisa pepejal itu dalam menggalakkan penglibatan menyeluruh masyarakat dalam aspek penjagaan kebersihan alam sekitar.

Inisiatif melibatkan taman perumahan dan premis itu meliputi 59 kawasan di Kuala Lumpur, enam di Putrajaya dan 50 di Pahang.

Inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pengurusan Pepejal dan Pembersihan Awam, antara aktiviti yang dilaksanakan ialah mengecat semula kemudahan awam, pembersihan di tempat-tempat awam, pengindahan taman permainan, menanam pokok dan membaik pulih kerosakan kecil longkang dan kaki lima.

Leave a Reply

Top