Anda di sini!
Utama > Hiburan > Datuk Siti Luah Hasrat Bantu Pelajar Luar Bandar

Datuk Siti Luah Hasrat Bantu Pelajar Luar Bandar

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza berhasrat membantu pelajar sekolah di kawasan luar bandar mencapai potensi maksimum mereka dalam bidang akademik, sukan dan seni kreatif.

Siti, 38, yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pintar berharap dapat mewakili golongan seniman mengetengahkan bakat seni pelajar-pelajar ke saluran yang betul.

“Sebagai seorang yang pernah belajar di sekolah luar bandar, saya aktif dalam sukan, menyanyi dan saya telah didedahkan sejak kecil kepada dunia perniagaan oleh ibu saya.

“Perkara ini memberikan saya keyakinan diri dan saya mahu memberi inspirasi yang sama pada anak-anak di kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media di Mercu UEM di sini pada Isnin.

Selain Siti yang mewakili golongan karyawan seni, pereka fesyen terkenal, Datuk Bernard Chandran turut dilantik bagi mewakili industri berkenaan.

Yayasan Pintar merupakan sebuah badan bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan pada 2008 untuk menerajui Program Pintar di  sekolah luar bandar dan sekolah berprestasi rendah selama tiga tahun.

Menerusi program itu, organisasi berkenaan akan membiayai pelbagai aktiviti seperti program ejaan, kelas tambahan dan klinik sukan untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Sekolah yang terpilih terletak di kawasan luar bandar dan mempunyai kadar lulus 65 peratus dalam keputusan peperiksaan utama.

Ibu bapa pelajar biasanya berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Pengerusi Yayasan Pintar, Tan Sri Arshad Ayub berkata, pelantikan Siti Nurhaliza boleh menggalakkan dan memupuk bakat kreatif kanak-kanak luar bandar dalam industri seni.

“Bakat nyanyian dan personaliti yang menyenangkan menjadikan beliau idola kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda.

“Siti Nurhaliza telah menunjukkan potensi yang besar kerana dia bukan sahaja berjaya dalam karier nyanyiannya, tetapi juga menjalankan perniagaan kecantikan dan masih mempunyai masa untuk melakukan kerja-kerja amal,” ujarnya.

Leave a Reply

Top