Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Datuk’ Antara Nama Dalam Radar SPRM

‘Datuk’ Antara Nama Dalam Radar SPRM

PUTRAJAYA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan terhadap empat lelaki, termasuk tiga bergelar “Datuk”, kerana didakwa menyalahgunakan koperasi di bawah tanggungjawab mereka, beberapa hari lagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad ketika mengulas laporan mengenai perbuatan menyalahguna kuasa dalam koperasi itu berkata: “Tunggu dalam masa terdekat untuk SPRM ambil tindakan.”

Ditanya sama ada empat lelaki itu akan ditahan atau direman dalam masa beberapa hari lagi, tanpa memberi maklumat terperinci, Dzulkifli menjawab: “InsyaAllah”.

Menurut laporan, lelaki berkenaan, kebanyakan mereka anggota lembaga pengarah sebuah koperasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), didakwa menyalahgunakan kedudukan mereka bukan sahaja untuk memperkenal sistem pemasaran bertingkat (MLM) dalam koperasi itu, tetapi juga secara teknikal memaksa anggotanya menyertai sistem berkenaan.

Menurut laporan, mereka yang memohon pinjaman akan hanya diberi kelulusan sekiranya mereka menyertai MLM itu.

Ini akan melibatkan RM6,700 wang mereka dan sebagai pulangan, mereka akan mendapat produk kecantikan yang dikatakan bernilai sebanyak itu.

Dzulkifli menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bungkusan bubur lambuk di bazaar Ramadan di sini Isnin, bersempena kempen Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (Gerah).

SPRM juga mengagihkan makanan itu kepada orang ramai di empat lokasi di Putrajaya, termasuk Ibu Pejabat Polis Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Hospital Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli menafikan dakwaan bahawa seorang pegawai polis yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan di dahi di Ibu Pejabat Polis Pasir Puteh, mempunyai kaitan dengan SPRM.

“Tiada langsung laporan yang mengaitkan SPRM dengan kes itu,” katanya apabila diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Leave a Reply

Top