Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bahawa kaedah pendaftaran pemilih tidak boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial, seperti yang menjadi viral di laman sosial sekarang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa dengan hanya menghantar gambar kad pengenalan MyKad ke nombor talian telefon tertentu, seseorang akan didaftarkan segera sebagai pemilih.

“SPR mendapati ada pihak tertentu menyebarkan maklumat terbabit melalui aplikasi media sosial sedangkan kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu itu hadir ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR.

“Mereka perlu membawa bersama kad pengenalan MyKad asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang berkenaan. Selepas mendaftar sebagai pemilih, pemohon sepatutnya menerima salinan Borang A bagi urusan sekiranya ingin membuat tuntutan jika permohonannya tidak diterima atau diproses oleh SPR.

“Jika PPP yang dilantik dikesan menjalankan kaedah pendaftaran yang melanggar Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR tidak akan teragak-agak menamatkan pelantikan mereka serta-merta,” katanya.

Hashim berkata, malah mana-mana PPP yang didapati menjalankan pendaftaran pemilih dengan kaedah itu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana memalsukan tanda tangan pemohon.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan mesej yang menjadi viral itu kerana dibimbangi maklumat peribadi mereka akan disalahgunakan untuk tujuan lain oleh pihak terbabit.

“SPR juga menyarankan supaya warganegara yang belum mendaftar sebagai pemilih supaya mengambil peluang mendaftar dengan segera tanpa menunggu saat akhir atau disebabkan oleh berita viral tertentu sahaja.

“Mendaftar sebagai pemilih dan mengundi ketika pilihan raya adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *