Anda di sini!
Utama > Hiburan > “Cukuplah Semua Itu Sudah Berlalu” – FBI

“Cukuplah Semua Itu Sudah Berlalu” – FBI

Selepas empat tahun mengundur diri dari dunia penyiaran, bekas penyampai radio popular, Faizal Ismail, menyifatkan era kegemilangannya dalam bidang itu sudah lama berlalu dan tidak mungkin diulangi.

Pernah enam kali merangkul trofi Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Faizal, 41, berkata diari hidupnya sebagai penyampai radio sudah lama ditutup walaupun masih menerima tawaran dari pelbagai stesen yang memerlukan khidmatnya.

“Cukuplah kerana semua itu sudah berlalu. Saya masih menerima tawaran untuk meneruskan kerjaya sebagai penyampai radio, tetapi cukuplah setakat itu. Saya tidak mahu lagi berjauhan dengan keluarga,” katanya.

Ura-ura kemunculan semula anak kelahiran Pulau Pinang itu sebagai penyampai radio tercetus apabila Faizal kembali bersiaran menerusi Facebook ditemani tetamu jemputan dengan membincangkan pelbagai topik semasa.

Faizal berkata, pendekatan secara santai dan mengikut keselesaannya itu diambil sejajar perkembangan arus teknologi yang memberinya ruang berkongsi pandangan terhadap isu yang membina minda masyarakat.

“Ramai yang mahir dengan teknologi tetapi tidak memanfaatkannya untuk perkara yang menjana minda. Dari situ, saya mendapat idea untuk muncul secara ‘live’ sebagai penyampai dan bersiaran dari rumah.

“Antara siaran yang mendapat catatan tertinggi apabila Fara Fauzana tampil sebagai tetamu jemputan dengan lebih 200,000 tontonan. Mungkin peminat masih merindui gandingan kami ketika bertugas di Hot FM dulu.

“Alhamdulillah, biarpun masih baharu, purata tontonan setiap kali bersiaran mencecah 50,000. Teruja rasanya apabila dapat melakukan sesuatu yang memberikan saya kepuasan.

“Lagipun, ia tidak memerlukan saya berjauhan dengan keluarga kerana saya baru menimang seorang lagi cahaya mata,” katanya.

Faizal juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan eksperimen ini kepada laman sesawang atau aplikasi mudah alih apabila tiba masanya kelak.

Leave a Reply

Top