Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Cuepacs Mahu Kerajaan Selesaikan Penempatan Kakitangan Tourism Malaysia

Cuepacs Mahu Kerajaan Selesaikan Penempatan Kakitangan Tourism Malaysia

Nasib pekerja pejabat Tourism Malaysia yang diumumkan penutupannya pada Januari masih belum dapat ditentukan, kata Datuk Azih Muda.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu berkata, sehingga kini, status penempatan pekerja yang terlibat dengan keputusan kerajaan itu masih belum dapat diputuskan.

Azih bagaimanapun berkata, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz telah bersetuju untuk bertemu Cuepacs berhubung perkara ini.

“Menteri sudah maklum dan telah setuju nak jumpa kita tapi belum dapat tarikh lagi.

“Saya harap isu berkaitan penempatan kakitangan Tourism Malaysia di negeri-negeri ini dapat diselesaikan lebih cepat kerana sebahagian daripada mereka mempunyai keluarga dan tanggungjawab sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Menurut Azih, walaupun pekerja-pekerja berkenaan tidak dibuang kerja, keadaan mereka kini yang digambarkan seperti ‘terumbang-ambing’ menunjukkan wujudnya situasi kurang sihat dalam institusi awam.

“Mereka tak dibuang kerja, tapi tak ada pejabat, mereka berkerja, mundar-mandir…tak produktiflah.

“Cuepcs berharap menteri dapat melapangkan masanya,” katanya.

Cuepacs sebelum ini pernah menggesa kementerian menangguhkan keputusan menutup pejabat Tourism Malaysia di semua negeri.

Azih berkata, beliau difahamkan sejumlah 232 pekerja yang terlibat tidak dimaklumkan secara rasmi tentang penutupan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 39 daripadanya berstatus kontrak di mana mereka berisiko kehilangan pekerjaan secara serta-merta.

Nazri ketika mengumumkan penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan 23 Januari lalu berkata, ia tidak melibatkan pemberhentian kakitangan, sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.

Katanya, keputusan ini dibuat bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan negara ini dan langkah itu dijangka dapat menjimatkan kos sebanyak RM6 juta setahun yang boleh diguna sebagai perbelanjaan lain.

 

Leave a Reply

Top